Carian
Fahmi Fadzil: Meta Akan Beri Penjelasan Berhubung Isu Penurunan Kandungan PM
August 3, 2024 Amy Maizuraa

Penyedia platform Meta akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Isnin depan bagi membincangkan isu penurunan kandungan berkaitan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh terutama melibatkan akaun media sosial rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Pertemuan itu akan membincangkan penerangan secara menyeluruh dan beberapa perkara perlu dipastikan sebelum membuat kenyataan terperinci mengenai isu yang berlaku. Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa ketua negara atau pegawai-pegawai kerajaan sememangnya diberikan pertimbangan khas apabila membincangkan berkaitan Palestin.

Ia merupakan jaminan yang diberikan secara lisan oleh pihak tertinggi Meta kepada beliau. Justeru itu, beliau telah meminta supaya penjelasan yang penuh boleh diperoleh daripada pihak Meta. Pada masa sama ingin melihat sejauh mana Meta akan menterjemah jaminan mereka.

” Hari Isnin pasukan (team) Meta akan datang bertemu dengan pihak kerajaan. Jadi kita mahukan supaya pertemuan itu berjalan dengan lancar. Pihak Meta telah memaklumkan bagi ketua negara ataupun ketua kerajaan dan pegawai-pegawai ataupun menteri-menteri memang diberikan pertimbangan yang khas bila membincangkan soal Palestin.”

“Ini yang telah dijaminkan kepada saya secara lisan oleh pegawai yang agak tinggi di pihak Meta. Mereka akan jumpa untuk bagi penjelasan kenapa kandungan (posting) pm diturunkan. Saya difahamkan oleh pihak Meta bahawa Facebook (FB) beliau mempunyai tanda pengesahan, dan ketua kerajaan sememangnya diberikan kelonggaran.”

“Saya juga telah dimaklumkan tentang apa yang berlaku tetapi saya mahu mereka datang dan beri penjelasan penuh. Ada beberapa persoalan yang ingin kita tanyakan dan selepas pertemuan itu kita akan keluarkan kenyataan.”

Beliau berkata demikian secara langsung sewaktu sidang media majlis pelancaran kempen #KasiJadi oleh J&T Express pada Sabtu. Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyatakan kesal dengan tindakan Meta yang menurunkan video serta ucapan takziah beliau kepada keluarga Haniyeh. Seterusnya tindakan seperti itu adalah dianggap tidak wajar namun penjelasan lebih mendalam masih diperlukan untuknya.

Komen