OpenAI kini dilaporkan mempunyai salah satu kaedah untuk mengenal-pasti dengan mudah kandungan-kandungan yang dijana menggunakan ChatGPT – terutamanya dalam menulis kertas kajian, ataupun karangan. Namun, firma tersebut dilaporkan tidak ingin menawarkan ia kepada awam buat masa ini.
Menurut laporan WSJ, fungsi untuk kenal-pasti kandungan dijana ChatGPT berkenaan telah tersedia untuk hampir setahun – namun, ia masih dibincangkan secara dalaman sama ada untuk menawarkannya atau sebaliknya. Ia dikatakan fungsi ini mempunyai kadar kejituan sehingga 99.9% efektif dalam mengenal-pasti teks yang dijana ChatGPT – melalui penggunaan tera air yang boleh dikenal-pasti sistem, tetapi tidak diketahui oleh pengguna umum.
Sebelum ini, ramai tenaga pengajar yang berharap boleh mengenal-pasti kertas kajian, karangan ataupun sebarang karya yang ditulis menggunakan ChatGPT ini, yang akan memudahkan mengenal-pasti karya sedemikian, dan memastikan para pelajar melaksanakan tugasan dengan lebih telus.
Ia dikatakan secara dalaman pelbagai perkara dibincangkan dalam menawarkan fungsi ini kepada pihak awam. Dengan penawaran terbuka, ia dijangka mungkin membuatkan sesetengah menemui kaedah tera air dilakukan untuk kenal-pasti karya, dan hadir dengan cara mengatasinya. Sementara sekiranya ditawarkan secara terhad kepada beberapa pihak, maka fungsi berkenaan mungkin tidak berguna sepenuhnya.
Selain OpenAI, Google sedia membangunkan kaedah untuk mengenal-pasti teks yang dijana GeminiAI, dinamakan sebagai SynthID – dan sedang pada peringkat ujian beta pada hari ini.