Penyanyi kelahiran Senegal, Akon mengumumkan pembinaan Akon City pada tahun 2020 yang menurut beliau akan menjadi pusat teknologi tinggi di benua Afrika. Ia dikatakan bakal menjadi Wakanda dunia sebenar dengan menggunakan tenaga lestari sepenuhnya serta melakukan perdagangan menerusi wang kripto Akoin. Empat tahun telah berlalu tetapi pembinaan Akon City yang mencecah $6 bilion masih belum dimulakan dan kini ia mungkin telah dibatalkan terus.
Kerajaan Senegal yang memberikan tanah untuk pembinaan Akon City dilaporkan akan mengambilnya semula kerana pengusaha Akon City gagal memulakan projek seperti dijanjikan. Syarikat Akon juga gagal melakukan pembayaran seperti yang dipersetujui dengan kerajaan.
Menurut pelan asal, pembinaannya sepatutnya dimulakan pada tahun 2023 dan pembinaan bandaraya canggih ini siap menjelang 2028. Keperluan kuasa elektrik dijana sepenuhnya menggunakan panel solar. Pada fasa pertama tempat tinggal, studio filem, pejabat untuk syarikat teknologi, hospital dan stesen janakuasa solar akan dibina. Selain itu sebuah lagi Akon City turut dirancang di Uganda dan seperti Akon City di Senegal ia juga masih tergendala tiga tahun selepas diumumkan.