Kaspersky Labs Memberi Butiran Tambahan Mengenai Isu Pasaran Amerika Syarikat
Nazrin
Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa Kaspersky Labs, syarikat sekuriti komputer dari Rusia telah dilarang untuk menjual dan memberi kemaskini kepada perisian sekuriti mereka kepada pengguna biasa di Amerika Syarikat.
Perkara ini berlaku setelah beberapa tahun mereka pada awalnya badan-badan kerajaan negara tersebut tidak dibenarkan menggunakan perisian tersebut pada komputer-komputer mereka. Bermula 20 Julai 2024, Kaspersky mengumumkan bahawa mereka akan meninggalkan pasaran negara tersebut sepenuhnya.

Di acara Kaspersky Cyber Security Week, Adrian Hia, Pengarah Urusan Kaspersky Asia Pasifik telah menjawab soalan berkenaan perkara ini, dimana beliau mengatakan bahawa ia benar bahawa Kaspersky Labs kini tidak dibenarkan untuk menjual produk sekuriti mereka kepada mana-mana pihak di Amerika Syarikat, dan keputusan ini nampaknya tidak akan dipusingkan pada bila-bila masa setakat ini.
Walaupun begitu, beliau mengatakan bahawa syarikat tersebut masih lagi boleh menjual laporan sekuriti mereka kepada entiti-entiti sekuriti di negara tersebut, sepertimana yang mereka telah lakukan sebelum ini. Kaspersky Labs masih lagi sebuah syarikat sekuriti penting yang mempunyai pandangan meluas dalam sektor keselamatan digital.
Bukan itu sahaja, untuk entiti-entiti perniagaan Amerika Syarikat yang bertapak di luar negara tersebut, mereka juga dibenarkan untuk menggunakan produk-produk sekuriti Kaspersky buat masa ini. Jadi, ya walaupun Kaspersky Labs dilihat kehilangan satu pasaran yang cukup besar, Ia tidak begitu mengganggu operasi keseluruhan syarikat sekuriti tersebut.