Huawei Nova Flip Kini Rasmi Dengan Skrin OLED Dan Kamera 50MP
Amy Maizuraa
Huawei Nova Flip telah diumumkan secara rasminya di China semalam. Seperti namanya ia merupakan peranti boleh katup yang mempunyai ‘aura’ dan gaya menarik untuk memenuhi pengguna moden. Ia juga boleh didapati dalam pilihan warna yang menarik seperti New Green, Sakura Pink, Zero White dan Starry Black.

Dari aspek rekaan peranti dilihat masih mengekalkan tubuh serba kompak bersama engsel lebih baik. Ianya berukuran hanya 6.88mm apabila dibuka dengan berat yang sederhana sekitar 195mm. Terdapat perubahan pada skrin luarnya yang berbentuk segi empat dan membolehkan lebih banyak fungsi serta kegunaan boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Ini termasuklah menggunakan kamera swafoto dan menyemak maklumat asas seperti cuaca, muzik dan kalendar. Sebuah pengimbas cap jari sisi juga disertakan namun peranti tidak kalis air.

Huawei Nova Flip juga mempunyai dua paparan yang menakjubkan. Skrin sekunder menggunakan panel OLED 2.14″ dengan kadar segar semula 60Hz. Sementara itu skrin utama pula lebih besar yang bersaiz 6.94″ dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Huawei tidak memperincikan butiran mengenai cip pemprosesan dan memori. Namun apa yang pasti peranti menyediakan perisian terkini HarmonyOS 4.2 dan pilihan storan dalaman sehingga 1TB.

Sistem dwi-kamera utama digunakan terdiri dengan 50MP (RYYB 1/1.56″) dan 8MP ultra lebar. Gambar swafoto pula boleh diambil menggunaka kamera hadapan 32MP. Menguasai peranti ini juga bateri 4400mAh dengan pengecasan pantas 66W. Di China Huawei Nova Flip dijual bermula RMB5288 (~RM3,296) sebuah dengan tiada butiran mengenai ketersediaannya di Malaysia setakat ini.