Safari iOS 18 Perkenalkan Ciri Baharu untuk Halang Iklan Pop-Naik
Rihhadatul Aisy
Menerusi iOS 18, iPadOS 18 dan macOS Developer Beta yang dilancarkan bulan lalu, satu lagi ciri baru yang tidak diumumkan sebelum ini untuk Safari diperkenalkan dengan ia dinamakan sebagai Distraction Control yang boleh mengurangkan gangguan ketika melayari web.

Sesuai dengan namanya, ciri ini direka untuk memberikan pengalaman melayari web menerusi Safari tanpa sebarang gangguan. Ciri ini berfungsi untuk menghalang pelbagai elemen yang boleh mengganggu pengguna ketika melayari web di Safari seperti iklan pop-naik, video yang dimainkan secara automatik, kuki dan beberapa lagi gangguan paparan yang lain.
Namun, ciri ini hanya berfungsi untuk menyembunyikan kandungan statik pada laman web dan bukan berfungsi sebagai penyekat iklan secara kekal. Ini bermakna, melaluinya iklan boleh disembunyikan buat sementara waktu dan iklan yang berbeza akan muncul semula sekiranya halaman berkenaan diakses kembali.
Tetapan Distraction Control ini boleh dilakukan dengan klik pada ikon menu. Kemudian pilih ‘Hide Distarcting Items’. Seterusnya anda boleh terus klik pada elemen yang ingin disembunyikan seperti iklan pop-naik dan sebagainya untuk menghilangkannya daripada paparan.
Halangan terhadap gangguan paparan sedemikian dilihat sebagai salah satu usaha Apple bagi membantu pengguna untuk lebih fokus pada kandungan utama laman web yang diakses, meningkatkan produktiviti dan sekaligus dapat menikmati pengalaman membaca yang lebih menyeronokkan. Kelak, ciri ini akan turut diberikan kepada pengguna Public Beta.
[sumber] The Verge [/sumber]