Industri Semikonduktor merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Malahan apa yang lebih penting ialah Malaysia diiktiraf sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan lebih puluhan tahun pengalaman serta Pulau Pinang menjadi tumpuan global.
Industri tersebut juga dijangka terus bertambah baik tetapi memerlukan usaha yang berterusan dan bertahap untuk mecapai matlamat yang diinginkan. Salah satu inisiatif yang disediakan adalah penubuhan Malaysia Semiconductor IC Design Park yang menjadi hab pengeluar cip semikonduktor dengan sasaran melahirkan lebih banyak jurutera dan pereka yang pakar dalam bidang berkenaan.
Terletak di Puchong Financial Corporate Centre (PFCC), hab ini mempunyai keluasan 60,000 kaki persegi dengan bangunan tiga tingkat yang memuatkan pelbagai ruang seperti bilik pengurus, bilik mekanikal dan elektrik (M&E), ruang kerja dan pantri.
Proses pemilihan lokasi ini juga telah mengambil beberapa faltor utama yang penting untuk syarikat semikondukto seperti saiz, kapasiti tenaga, status bangunan, kelengkapan pejabat, potensi untuk pengembangan masa depan, dan aksesibiliti pengangkutan awam.
Kedudukan strategik yang berhampiran dengan ibu negara Kuala Lumpur turut membolehkannya menjad destinasi utama untuk syarikat semikonduktor kemudiannya menawarkan peluang yang tiada tandingan untuk kerjasama dan pertumbuhan.
Hab ini juga direka untuk menempatkan kira-kira 400 hingga 600 jurutera dari sekumpulan syarikat reka bentuk IC terkemuka tempatan dan antarabangsa. Selain turut mendapat sokongan padu daripada beberapa rakan kongsi seperti BlueChip VC, ARM Holdings, Cadence Design System, Synopsys, Siemens EDA, Keysight dan Shenzhen Semiconductor Association.
Dalam pada itu, Malaysia Semiconductor IC Design Park juga sedang giat mengambil pekerja yang layak dalam bidang Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Mekatronik, dan Sains Komputer dengan purata gaji permulaan yang boleh mencecah RM7,000. Selain turut membuat pengambilan pekerja dalam kalangan jurutera berpengalaman yang diyakini mampu bantu mengembangkan lagi sektor itu.
Berkongsi perancangan dan hala tuju seterusnya, Cyberjaya dikatakan menjadi lokasi seterusnya untuk penubuhan Malaysia Semiconductor IC Design Park yang kedua. Tiada sebarang maklumat yang dikongsikan buat masa ini berkaitan proses atau berkembangan semasa hal tersebut.
Namun pemilihan lokasi itu dirasakan menarik memandangkan Cyberjaya kini telah berkembang sebagai hab teknologi yang berkembang maju. Selain juga dilengkapi sepenuhnya dengan infrastruktur, sumber dan banyak lagi bahan utama yang diperlukan untuk mewujudkan ekosistem teknologi yang menarik.