Ciri Friend Map Di Instagram – Kelebihan dan Kekurangannya
Rihhadatul Aisy
Sejak semalam, rata-rata pengguna Malaysia akhirnya baru sahaja menerima ciri baru dalam aplikasi Instagram yang dinamakan sebagai ‘Friend Map’. Meskipun laporan mengenai Instagram telah melakukan ujian ciri ini sejak Februari lalu telah lama dikongsikan, ciri ini baru sahaja boleh digunakan oleh semua pengguna Instagram di Malaysia menerusi kemas kini terbaru.

Ciri ini berfungsi dengan pengguna boleh memilih untuk berkongsi lokasi mereka dengan rakan dalam senarai ‘Close Friends’ atau dengan semua pengikut yang diikuti di Instagram (followers you follow back). Ia membolehkan pengguna memiliki kawalan penuh ke atas siapa yang dapat melihat lokasi mereka dengan pilihan untuk menyembunyikan lokasi atau hanya ingin diperlihatkan kepada rakan rapat.
Melaluinya, sebuah paparan peta akan menunjukkan lokasi rakan-rakan lain yang berkongsi lokasi mereka. Namun, lokasi yang ditunjukkan bukanlah lokasi yang akan berubah secara masa nyata kerana ia hanya akan berubah mengikut lokasi dimana kali terakhir pengguna mengakses Instagram. Bukan sekadar berkongsi lokasi, ciri Friend Map ini juga membolehkan pengguna menambah nota pada peta tentang aktiviti atau kejadian terkini di lokasi berkenaan.
Namun sejak ciri ini dilancarkan di Malaysia, wujud pelbagai pandangan dan pendapat tentang manfaat serta kerisauan mengenai impak negatif ciri ini khususnya melibatkan isu privasi dan keselamatan. Justeru tu, ini adalah perkongsian kelebihan dan kekurangannya. Tetapi sebelum ini bagaimana untuk mengakses ciri Friend Map ini?
- Kemas kini aplikasi Instagram anda ke versi terkini di Android dan iOS.
- Pergi ke ikon Direct Message di bucu atas kanan aplikasi.
- Di baris atas anda akan melihat pilihan baharu Map bersebelahan ikon Your Note.
- Tekan ikon Map dan pilih untuk membenarkan penjejakan lokasi.
- Pilih siapa yang ingin anda benarkan untuk mengakses lokasi.
- Selamat menggunakan Friend Map. Jika ia tiada dalam aplikasi anda, ia adalah kerana ciri ini diberikan secara berperingkat.

Kelebihan
- Dapat mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan pengikut di Instagram dengan membolehkan pengguna mengetahui keberadaan rakan-rakan mereka pada waktu-waktu yang tertentu.
- Ciri ini juga dirasakan sangat berguna bagi merancang pertemuan dengan rakan-rakan.
- Menjadikan interaksi di Instagram lebih interaktif dan menyeronokkan.
Kekurangan
- Wujud isu kerisauan dengan ia melibatkan privasi pengguna dengan menjadikan lokasi mereka diketahui oleh ramai orang.
- Ciri ini juga berpotensi untuk menjadi alat kepada sebarang niat jahat seperti gangguan atau tujuan menghendap (stalking).
- Berkemungkinan akan mengurangkan interaksi sosial secara langsung kerana pengguna hanya bergantung kepada peta maya menerusi ciri berkenaan.
Kesimpulannya, kami rasakan ciri ‘Friend Map’ di Instagram ini adalah satu ciri baru yang menarik namun sewajarnya digunakan bersama-sama dengan kebijaksanaan. Penting untuk diingati bahawa ciri seperti ini adalah sebahagian daripada teknologi dan teknologi pula adalah sebuah alat. Demikian itu, baik atau buruk sesuatu alat itu adalah bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya.