Carian
Anker Melancarkan Pengecas Dengan Kuasa dan Keutamaan Port Boleh Dikawal
August 8, 2024 Effi Saharudin

Kami ada mengulas beberapa pengecas peranti yang hadir dengan lebih daripada satu port pengecasan. Walaupun boleh mengecas pelbagai peranti serentak, setiap port hanya boleh menawarkan pengecasan pada kuasa tertentu. Dalam semua kes, kuasa akan dikurangkan mengikut situasi dan ia tidak boleh dikawal oleh pemilik.

Hari ini Anker Prime Charger dilancarkan dan ia hadir dengan ciri unik dimana kuasa pengecasan boleh dilaras secara manual dan lebih unik lagi ialah pengguna boleh memberikan keutamaan kepada port yang perlu diberikan kuasa penuh sepanjang masa. Kuasa boleh diubah menggunakan tombol pada bahagian kanan pengecas.

Ia hadir dengan empat port USB-C dan dua port USB-A dengan kuasa pengecasan keseluruhan sehingga 250W. Satu port USB-C mengecas pada output maksimum 140W dan tiga lagi sehingga 100W. Sempena itu dua port USB-A setiap satunya mengecas pada kuasa 22.5W.

Empat mod pengecas yang boleh digunakan dengan yang pertama ialah mod AI yang secara automatik membekalkan kuasa mengikut keperluan peranti. Mod kedua pula membekalkan kuasa maksimum pada port pilihan pengguna sepanjang mada. Mod ketiga memberikan keutamaan kepada dua port yang mengecas komputer riba. Mod terakhir ialah mod kuasa rendah yang dipilih untuk memanjangkan hayat bateri peranti.

Skrin LCD di bahagian hadapan akan memaparkan status pengecasan, kuasa yang dibekalkan dan turut boleh memaparkan waktu. Pengecas ini juga boleh dikawal menggunakan aplikasi Anker kerana boleh disambung kepada WiFi. Di Amerika Syarikat, Anker Prime Charger dijual pada harga $170 (~RM761) sebuah.

Komen