Realme 13 4G Kini Rasmi – Skrin AMOLED 120Hz Dan Cip Snapdragon 685
Amy Maizuraa
Sebuah lagi peranti baharu di bawah siri Realme 13 dilancarkan secara rasminya di Indonesia semalam. Ia menjadi pilihan lebih mampu milik dengan hanya menawarkan rangkaian 4G. Di samping mempunyai konsep yang serupa dengan sebuah Realme 12 5G sebelum ini untuk aspek rekabentuk.

Untuk lebih lanjut peranti ini menggunakan skrin AMOLED 120Hz sebesar 6.7-inci dengan resolusi FHD+ dan kecerahan puncak 2000nits. Ia kemudiannya dijana cip Snapdragon 685, memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Keadaan menjadi lebih baik apabila pelancar terkini RealmeUI 5.0 berasasnkan Andoid 14 juga digunakan untuk pengalaman yang dipertingkatkan.

Bateri adalah sebesar 5000mAh yang boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan pantas 67W. Selain itu sistem kamera utama terdiri dengan 50MP Sony LYT-600 (OIS) + 2MP kedalaman. Gambar swafoto pula boleh diambil menggunakan kamera hadapan 16MP. Kedua-dua kamera juga boleh merakam video pada 1080P/30fps.
Terdapat juga ciri dan fungsi lain yang disediakan seperti kalis air IP64, NFC, pembesar suara dengan Hi-Res Audio dan bicu audio 3.5mm. Realme 13 4G dijual di Indonesia pada harga Rp2,999,000 (~RM838) dengan tiada butiran tentang penawarannya di Malaysia.

Pun begitu semakan menerusi laman web rasmi SIRIM mendapati terdapatnya sebuah peranti terkini dengan nama Realme 13 5G telah disenaraikan. Penggunaan perkataan 5G jelas memberi gambaran peranti kelak boleh dilengkapi perkakasan dalam yang berbeza memandangkan cip Snapdragon 685 sekadar menyokong rangkaian 4G.