Realme Akan Mengumumkan Teknologi Pengecasan Pantas Baharu Pada Bulan Ini
Amy Maizuraa
Realme sedia mempunyai teknologi pengecasan pantas tersendiri yang dijangka akan lebih baik di masa akan datang. Malahan lebih pantas maka ia boleh memacu inovasi yang berkualiti atau lebih menarik kelak. Realme juga ada berkongsi tentang perancangan yang bakal mengumumkan teknologi pengecasan baharu tidak lama lagi.

Sebuah acara khas akan diadakan di China pada 14 Ogos 2024 untuk mengumumkan butiran lebih lanjut mengenai teknologi pengecasan pantas itu. Ia dijangka akan menjadi antara yang terpantas di dunia namun Realme mengambil pendekatan merahsiakan kuasa output daripada umum. Perkara itu lebih kepada kejutan yang akan didedahkan dalam acara pelancaran rasmi.
Ada pihak yang mengaitkannya dengan teknologi pengecasan pantas 300W yang berpotensi digunakan pada peranti akan datang Realme. Khususnya untuk peranti dalam siri GT kerana kita telah melihat paten yang sama dilakukan Realme sebelum ini sewaktu mengumumkan teknologi pengecasan pantas 240W. Dalam pada itu, Xiaomi juga telah mempamerkan teknologi pengecasan 300W tersendiri sebelum ini tetapi masih belum dikomersialkan lagi.

Pengenalan ini juga berhasrat untuk menetapkan penanda aras baharu dalam teknologi pengecasan pantas telefon pintar. Kemudiannya melambangkan komitmen Realme untuk menyediakan teknologi yang menarik buat pengguna. Selain daripada pengecasan pantas, terdapat juga teknologi baharu dengan tumpuan terhadap AI, prestasi dan sistem pengimejan akan diumumkan bersama.