Google TV Streamer Adalah Pertama Di Dunia Dengan Android TV 14
Fahim Zahar
Beberapa hari lepas, Google TV Streamer telah dilancarkan sebagai pengganti kepada Chromecast with Google TV. Pengenalan kepada kotak TV tersendiri Google ini turut menjadi titik penamat bagi peranti Chromecast. Kotak TV baharu ini cukup berkuasa dengan memori 4GB RAM serta cip MediaTek MT8696 iaitu cip sama pada Amazon Fire TV Stick Max (2021). Google TV Streamer juga adalah kotak TV pertama dunia menjalankan Google TV berasaskan Android TV 14.

Kebiasaannya, apabila Android TV baharu dilancarkan ia terhad kepada pembangun. Peranti untuk pengguna akan menerima versi dua generasi sebelum. Misalnya sekarang, kebanyakan peranti Android TV atau Google TV masih menggunakan Android TV 12 dan hanya yang lebih moden sahaja dengan Android TV 13. Untuk Android TV 14, pembangun pun tiada akses kepada peranti kerana ia terhad di dalam pelagak sahaja. Dengan Google TV Streamer menjadi kotak TV pertama Google, kelak kemas kini akan menjadi lebih pantas dan peranti pesaing berpotensi untuk menjalankan Google TV versi baharu lebih awal berbanding sekarang.
[sumber] Android Authority [/sumber]