Budaya Kerja Berbeza Menyebabkan TSMC Sukar Untuk Memulakan Pengeluaran Di Kilang Arizona
Nazrin
Jika anda mengikuti perkembangan industri semikonduktor global, anda akan tahu bahawa Taiwan Semiconductor Manufacturing Company merupakan salah satu daripada syarikat-syarikat pembuat cip semikonduktor yang mengembangkan pengeluaran mereka ke Amerika Syarikat dan rantau Eropah.
TSMC sudahpun siap membina kilang pengeluaran cip 5nm mereka di Arizona, tetapi kini mempunyai isu dengan tenaga kerja mereka, dimana ramai pekerja tempatan tidak berpuas hati dengan layanan kerja yang diberikan oleh majikan dari Taiwan mereka.
Diantara ketidakpuashatian yang diutarakan termasuklah masa kerja 12 jam pada hari minggu, dan paksaan untuk masuk kerja untuk menyelesaikan sebarang kecemasan walaupun pada hujung minggu. Cemuhan yang diterima daripada pengurus-pengurus Taiwan juga menyebabkan para pekerja di Amerika Syarikat sanggup berhenti kerja walaupun TSMC merupakan syarikat gergasi dalam industri pembangunan cip semikonduktor.
Ia juga dilaporkan bahawa separuh daripada 2200 tenaga kerja di kilang Arizona ini merupakan tenaga kerja yang dibawa masuk dari Taiwan, dan TSMC kini dilihat agak terdesak untuk mengurangkan jumlah tersebut, khususnya apabila kilang tersebut, apabila ia beroperasi pada kapasiti penuh, akan mempunyai seramai 6600 pekerja.
Perkara ini menjadi isu untuk TSMC khususnya kerana pelaburan tinggi sedia ada, sebanyak $65 bilion (~RM29 bilion), dan penambahan pekerja dari Taiwan bermakna bahawa mereka terpaksa membawa tenaga kerja yang sudahpun sukar untuk didapati di negara mereka sendiri.
TSMC juga sedar akan kepentingan untuk membina tenaga kerja tempatan, dan dilaporkan telahpun memulakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Amerika Syarikat untuk membina infrastruktur seperti bilik bersih dan program-program lain untuk memastikan bahawa TSMC di Amerika Syarikat boleh dibangunkan secara lestari.
Seperti yang dilaporkan, TSMC dijangka akan memulakan pengeluaran cip semikonduktor yang dibina menggunakan proses N5 (5nm) sekitar 2025 kelak.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]