ASUS Dan MSI Mengeluarkan Kemaskini Kod Mikro Untuk Membendung Isu Cip Intel Generasi Ke-13 Dan 14
Nazrin
Intel telah mengesahkan bahawa kemaskini kepada kod mikro yang membelenggu papan induk dan cip pemprosesan Intel generasi ke-13 dan ke-14 yang menyebabkan pelbagai jenis masalah pada platform-platform tersebut akan dikeluarkan pada bulan ini.

Nampaknya dua syarikat pembuat komponen komputer, iaitu ASUS dan MSI telah mengesahkan bahawa mereka sudahpun memperkenalkan kemaskini untuk kod mikro tersebut melalui laman web mereka. Kemaskini kod mikro ini merupakan versi 0x129 dan boleh dimuat-turun untuk papan-papan induk tertentu seperti yang tertera pada laman web masing-masing.
Apa yang dapat dilihat pada masa ini ialah kemaskini kod mikro ini adalah dalam fasa beta, dan hanya boleh digunakan pada papan-papan induk siri Intel Z790. Ini mungkin kerana isu kod mikro ini dilihat lebih memberi kesan kepada komputer-komputer yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Core i9 dan Intel Core i7 siri K yang boleh dilewahjam. Dan untuk Intel, hanya papan induk Z790 yang boleh melewahjam cip-cip pemprosesan dalam siri ini.

Walaupun kod mikro ini masih lagi berada dalam fasa beta, ia telah diuji oleh pihak mereka sendiri, dan mendapati ia selamat digunakan untuk mengemaskini papan induk dan cip pemprosesan Intel generasi 13 dan 14.
Dalam pada itu, perlu juga diingatkan bahawa kemaskini ini hanya akan berkesan untuk CPU-CPU yang masih belum mengalami isu over-volting yang menyebabkan masalah kepada CPU. Untuk komputer yang sudahpun terkesan dengan isu tersebut, anda akan perlu menukar komponen CPU sebelum memasang kemaskini ini.