Desas-desus peranti generasi baharu Xiaomi yang dijangka menggunakan bateri sebesar 7,500mAh telah mula kedengaran. Perkhabaran itu dikongsikan oleh Digital Chat Station tentang Xiaomi yang dikatakan sedang menguji peranti yang tidak dinamakan dengan kapasiti bateri yang besar di antara 5500mAh hingga 7500mAh. Kemudian proses ujian produk juga melibatkan sistem pengecasan pantas dengan dua kuasa output iaitu 100W dan 120W.
Antara yang menjadi tumpuan sudah semestinya ke arah produk dengan bateri paling besar 7,500mAh yang boleh dicas penuh dalam masa 63 minit menggunakan sistem pengecasan 120W. Ia dilihat menarik kerana bukan sahaja menjamin masa pengecasan semula yang pendek malahan pengguna turut boleh mengharapkan ketahanan penggunaan peranti yang lebih panjang. Seperkara yang harus diberi perhatian adalah rekaannya kelak memandangakan kebiasaannya peranti dengan bateri besar mempunyai kemasan tubuh yang tebal.
Cuma baru-baru ini teknologi bateri menyaksikan inovasi menarik daripada beberapa pengeluar yang mula menggunakan bateri silikon-karbon pada peranti masing-masing. Melaluinya bateri mampu menawarkan ketumpatan tenaga yang tinggi sambil mengekalkan saiz peranti yang kompak. Perlu ditegaskan juga bahawa perkongsian tentang Xiaomi ini masih diperingkat ura-ura yang tidak diketahui sama ada akan dihasilkan secara komersial atau sebaliknya.