Kecurian peralatan fotografi akan menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit sekaligus menjejaskan kemampuan jurugambar untuk membeli kelengkapan gantian. Selepas dicuri ia dengan mudah dijual kerana kelengkapan tidak mempunyai ciri anti kecurian seperti peranti pintar. Semalam Ricoh melancarkan kamera Ricoh G900 II dan Ricoh G900SE II yang mempunyai kata laluan yang membuatkan ia mustahil digunakan jika dicuri.
Ricoh G900 II dan Ricoh G900SE II adalah dua kamera tahan lasak yang direka untuk digunakan di tapak pembinaan. Dengan kecurian sering berlaku di tapak pembinaan, ciri kata laluan disertakan pada kamera. Kamera hanya boleh berfungsi selepas kata laluan dimasukkan. Pemilik juga boleh mengunci beberapa ciri pada kamera di sebalik kata laluan. Terdapat juga sistem penyulitan pada kad memori bagi mengelakkan kandungan dibaca tanpa kebenaran.
Kerana ia kamera untuk kegunaan industri, ia hadir dengan ciri boleh dikemaskini oleh pentadbir menggunakan rangkaian WiFi dan juga membaca kod QR. Ciri menarik lain ialah nota boleh diletakkan pada gambar yang memudahkan konteks apakah yang diambil seperti ketika berada di tapak pembinaan. Ricoh G900 II dan Ricoh G900SE II juga boleh digunakan sebagai kamera web dengan sokongan penstriman langsung pada tetapan 1080P 30p.
Kedua-dua kamera mempunyai kemampuan tahan lasak kalis debu an air serta kalis bahan kimia seperti ethanol dan cecair pencuci industri yang menghakis. Ia boleh dibawa menyelam sehingga 20 meter, tahan hentakan jatuh dari ketinggian 2.1 meter dan menahan berat sehingga 100 kg. Kedua-duanya juga menggunakan sensor 20MP dengan model SE hadir dengan ciri sokongan WiFi, bluetooth dan NFC.
Ricoh G900 II dijual pada harga $799.95 (~RM3533) sebuah manakala RICOH G900SE II pada harga $899.95 (~RM3975) sebuah.