Konsol mudah alih permainan video PC kini menjadi trend. Orang ramai berlumba-lumba mendapatkan ASUS ROG Ally, Lenovo Legion GO dan ada juga yang bangga dengan Steam Deck mereka kerana yakin SteamOS adalah sistem terbaik untuk konsol sebegini. Valve turut pernah menyatakan minat membawakan sokongan SteamOS ke peranti lain dan peranti terawal mungkin adalah ASUS.
Dalam kemas kini SteamOS Beta 3.6.9, senarai log perubahan ada menyatakan ia mula menyokong input untuk butang tambahan pada ASUS ROG Ally. Ini memberi cadangan yang SteamOS kelak boleh dipasang pada ROG Ally dan menggantikannya Windows dengan sistem operasi berasaskan Linux ini. Bukan itu sahaja, memandangkan Ally X adalah peranti Windows yang menyokong dwi-boot pengguna bebas menjalankan dua sistem operasi.
Buat masa ini masih tiada khabar bila pengguna boleh muat turun fail imej SteamOS 3.6.9 dan flash pada ROG Ally. Ia juga mungkin adalah ujian awal untuk para pembangun. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenai perkara ini. Mana tahu kelak, pengeluar konsol mudah alih boleh menawarkan dua versi sama ada Windows atau SteamOS.