ASUS ProArt PZ13 Akan Ke Malaysia Sebagai Tablet Copilot+ Pertama – Berharga RM6,999
Fahim Zahar
Jika anda bukan peminat laptop tetapi lebih menggemari tablet hibrid seakan Microsoft Surface, ProArt baharu dengan AI dan format sama seakan Surface turut akan ke Malaysia iaitu ProArt PZ13. Ia adalah peranti dengan cip Snapdragon X Plus pertama di Malaysia dan antara laptop Copilot+ lebih mampu milik berbanding laptop ASUS lain.

Skrin adalah Lumina OLED 13-inci beresolusi 3K. Ia dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X + storan dalaman 1TB SSD. Ia turut lengkap dengan pelbagai port sambungan iaitu 2x USB-C 4.0 dan 1x pembaca kad SD/mikro SD. Bateri pula adalah 70Wh dan ia mempunyai perlindungan IP52 untuk kalis percikan dan habuk. Ia juga adalah tablet pertama Copilot+ untuk menggunakan Cocreator pada Paint dengan pemprosesan dari dalam peranti.

Ciri AI lain seperti StoryCube dan MuseTree diberikan, CapCut Pro 6 bulan dengan ciri AI diproses dari dalam peranti dan juga Adobe Creative Cloud 3 bulan akan diberikan. Akses kepada Microsoft Office 365 Basic turut disertakan dengan tablet hibrid ini. Jualan peranti ini di Malaysia adalah satu kejutan kerana pada asalnya, mereka hanya merancang dan tiada pengesahan bila ia akan dijual. Disebabkan itu butiran spesifikasi penuh juga masih tidak didedahkan seperti jenis speaker, kamera, kuasa pengecasan dan banyak lagi.
Tarikh jualan juga masih belum diketahui tetapi ia disahkan akan tiba pada tahun ini juga. Jika anda mahu mencuba ciri Copilot+ tanpa berbelanja lebih RM7K, ini mungkin pilihan terbaik dalam keluarga ASUS. Sama-sama kita nantikan.