Dunia permainan video adalah sangat dahsyat. Lihat sahaja perkongsian yang tular mengenai kandungan mesej di dalam Discord atau Twitch. Siapa sahaja tidak berang apabila kalah dalam permainan dan kemudian ingin marah dan menyalahkan orang lain? Untuk membendung masalah buli siber, pelbagai gangguan yang tidak diingini dan spam mesej keji – Twitch menguji ciri amaran AI sebelum mesej dihantar.
Menurut Twitch mereka menggunakan pembelajaran mesin, satu terma yang sudah lama saya tidak gunakan sejak sudah biasa dengan kecerdasan buatan. Apa pun, selepas pengguna menaip mesej-mesej yang keji yang penuh dengan kata-kata maki hamun – Twitch akan mengeluarkan amaran memberitahu mesej tersebut adalah tidak elok dan pengguna masih ada peluang untuk menghentikannya. Walaupun begitu, jika degil mesej masih boleh dihantar.
Ia adalah satu langkah untuk memberi kesedaran kepada penghantar mesej. Agak sukar untuk Twitch terus menghalang semua teks yang mempunyai kandungan keji kerana ia adalah platform yang mempunyai ciri pemesejan khusus untuk berbincang atau meluahkan sesuatu mengenai apa-apa sesi permainan video.