Menstrim Lagu Di YouTube Music? Kini Anda Boleh Kongsi Lagu Kegemaran Dengan Orang Ramai
Fahim Zahar
Saya suka mendengar muzik tetapi saya malas mencari lagu yang saya dengar di radio. Ini membuatkan saya mudah lupa apakah judul dan artis lagu popular. Oleh itu saya hanya mencari senarai main yang telah orang cipta dan simpan ke pustaka platform penstriman saya. Terbaru, YouTube Music telah memperkenalkan radio peribadi untuk dikongsi kepada orang samai.

Apa itu radio peribadi? Sama seperti Apple dan Spotify, Radio adalah di mana koleksi lagu dikumpulkan secara automatik berdasarkan artis dan lagu yang diikuti. Radio peribadi pada YouTube Music adalah mengumpulkan muzik yang anda telah dengar, artis yang anda ikut, video muzik yang ditonton serta senarai main yang kerap didengari. Ciri ini turut akan disegarkan setiap hari, agar apabila ia dikongsi si penerima dapat mendengar pelbagai muzik berbeza.

Untuk menggunakan ciri ini anda perlu mengaktifkannya pada tetapan saluran kemudian hidupkan Enable public stats dan Enable public personal radio. Satu perkara yang anda perlu tahu, apabila ciri ini diaktifkan sejarah tontonan YouTube anda secara automatik boleh diakses secara umum sehingga dua tahun dan ia boleh disunting oleh pengguna sendiri. Paparan apa-apa status baharu akan datang, YouTube terus matikan secara lalai.
Ciri ini diedarkan kepada semua pengguna secara berperingkat. Jika anda rasakan citarasa muzik anda hebat, menarik dan terbaik – anda boleh mula kongsi pautan profil YouTube Music anda ke semua orang agar semua dapat mendengar dan menilai apa yang anda dengari setiap hari.
[sumber] Google Support [/sumber]