NVIDIA Menggantikan Memori GDDR6X Pada GeForce RTX 4070 Dengan Memori GDDR6
Nazrin
Untuk menjadikan beberapa penawaran kad grafik mereka menjadi lebih murah, NVIDIA nampaknya akan mengemaskini penawaran model kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 mereka untuk menggunakan memori GDDR6 berbanding dengan memori GDDR6X sebelum ini.
Sebelum ini, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 dilengkapi dengan 8GB memori GDDR6X dengan kelajuan 21Gbps, dan dengan kemas kini baru ini, nampaknya memori yang digunakan akan hadir dengan kelajuan 20Gbps. Perbezaan kelajuan memori ini nampaknya akan ditangani dengan melewahjam sedikit kelajuan cip pemprosesan grafik tersebut.

Perubahan ini nampaknya dilakukan untuk membolehkan NVIDIA menawarkan kad grafik GeForce RTX 4070 pada tanda harga yang lebih murah, membezakannya dengan tiga penawaran kad grafik model 4070 yang lebih berkuasa, iaitu GeForce RTX 4070 Super, GeForce RTX 4070 Ti dan GeForce RTX 4070 Ti Super.
Spesifikasi komponen lain kad grafik ini, seperti jumlah teras CUDA (5888 teras) dan pemproses strim (46 pemproses) tidak berubah, jadi nampaknya kad grafik ini masih lagi akan hadir dengan prestasi yang lebih kurang sama seperti model yang menggunakan memori GDDR6X 8GB sebelum ini.
Perubahan ini dijangka akan bermula tidak lama lagi, dengan jenama pembuat kad grafik GALAX nampaknya sudahpun mula menawarkan kad grafik dengan memori “baru” tersebut.
[sumber]VideoCardz[/sumber]