Google bersama-sama siri Pixel 9, turut buat pertama-kalinya mengasingkan siri Pro, dan memperkenalkan dua peranti dibawah siri berkenaan, dinamakan Pixel 9 Pro dan juga Pixel 9 Pro XL. Ini sekaligus membuatkan masing-masing hadir dengan pilihan saiz berbeza, selain sedikit perbezaan pada saiz bateri.
Google Pixel 9 Pro hadir dengan skrin bersaiz 6.3-inci, sementara Pixel 9 Pro XL pula hadir dengan skrin 6.8-inci. Kedua-duanya menggunakan skrin pada nisbah 20:9, kaca Gorilla Glass Victus 2, dan juga sokongan HDR. Dari segi bateri, Pixel 9 Pro hadir dengan bateri 4700mAh, sementara Pixel 9 Pro XL pula hadir dengan bateri 5060mAh.
Selain daripadanya, kedua-duanya menawarkan sokongan spesifikasi yang lebih kurang sama. Kedua-duanya dijana dengan cip Google Tensor G4, memori 16GB RAM, dan pilihan storan sehingga 1TB.
Untuk rakaman gambar, ia hadir dengan tri-kamera belakang yang mengabungkan sensor utama 50MP, 48MP ultra-lebar, dan 48MP telefoto 5x. Untuk swafoto, ia menyertakan kamera 42MP dihadapan. Kedua-duanya hadir dengan Android 14 terbina, serta menjanjikan kemaskini sistem operasi selama 7 tahun.
Seperti Google Pixel 9, ia hadir bersama sejumlah ciri-ciri berasaskan kecerdasan buatan dikuasakan Gemini Nano pada peranti. Disamping itu, ia turut hadir dengan integrasi SOS Kecemasan yang terhad di beberapa buah negara yang menggunakan sokongan satelit untuk menghantar mesej kecemasan.
Kedua-dua model peranti ini akan ditawarkan di Malaysia, dan kita akan mendengar lanjut berkenaan dengannya lewat hari ini. Sama-sama kita nantikan lanjut berkenaan dengannya.