Google Pixel 9, 9 Pro dan 9 Pro XL Dilancarkan Di Malaysia Secara Rasmi
Effi Saharudin
Buat pertama kalinya sejak Google Pixel dilancarkan lapan tahun lalu, peranti ini secara rasmi memasuki paran Malaysia. Tiga model yang dibawa masuk ialah Google Pixel 9, Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL masing-masing dilengkapi dengan cip Google Tensor G4 yang boleh menjalan model AI Gemini Nano secara terbina pada peranti.

Pixel 9 dilengkapi 6.3″ Actual Display, memori 12GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4700 mAh yang menyokong pengecasan 27W. Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dan lensa ultra sudut lebar 48MP. Sementara itu di hadapan pula ia dilengkapi kamera 10.5MP.

Pixel 9 Pro dan 9 Pro XL dilengkapi 6.3″ dan 6.8″ Actual Display, memori 16GB RAM, storan sehingga 1TB dan bateri sebesar 4700/5060 mAh yang menyokong pengecasan 27W. Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50M, lensa ultra sudut lebar 48MP dan lensa telefoto 48MP dengan 5x zum optikal. Sementara itu di hadapan pula ia dilengkapi kamera 42MP.
Peranti hadir dengan ciri baharu seperti Pixel Studio, Add me, Reimagine dan akses kepada Gemini Pro secara percuma selama setahun untuk pembeli Pixel 9 Pro. Ciri SMS kecemasan menggunakan satelit tidak disokong di Malaysia pada ketika ini. Sistem operasi yang digunakan ialah Android 14 dengan sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.

Pratempahan dibuka untuk Pixel 9 dan Pixel 9 Pro XL bermula hari ini 14 Ogos dengan ia akan dijual secara terbuka bermula 22 Ogos depan. Sementara itu Pixel 9 Pro akan hanya mula ditawarkan bermula ke suatu tarikh pada bulan September yang masih belum ditetapkan.
- Google Pixel 9 (128GB) – RM3999
- Google Pixel 9 (256GB) – RM4499
- Google Pixel 9 Pro (128GB) – RM5199
- Google Pixel 9 Pro (256GB) – RM5699
- Google Pixel 9 Pro (512GB) – RM6299
- Google Pixel 9 Pro XL (128GB) – RM5699
- Google Pixel 9 Pro XL (256GB) – RM6199
- Google Pixel 9 Pro XL (512GB) – RM6799
- Google Pixel 9 Pro XL (1000GB) – RM7999
