Carian
Realme 320W Supersonic Charge Boleh Mengecas Penuh Peranti Dalam Hanya 4 Minit
August 14, 2024 Amy Maizuraa

Realme 320W Supersonic Charge diperkenalkan secara rasminya di China pada hari ini. Ia merupakan teknologi pengecasan pantas yang dipertingkatkan untuk pengalaman pengguna yang lebih baik. Misalnya seperti teknologi tersebut boleh mengecas bateri sebuah telefon pintar hingga penuh dalam masa hanya 4 minit dan 30 saat. Secara puratanya ia boleh mengambil masa seminit untuk mencapai tahap 26% dan dua minit untuk ke tahap 50%.

Kesemua angka ini dikongsi sendiri oleh Realme namun masih bergantung pada kapasiti bateri peranti. Pembangunan Realme 320W Supersonic Charge mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun dan boleh berfungsi sebaiknya dengan gabungan teknologi berbeza. Contohnya seperti ia memerlukan bateri lipat khusus yang menurut Realme adalah pertama di dunia. Bateri itu terdiri daripada empat sel berbeza dengan jumlah kapasiti 4,420mAh, di samping tampil nipis dengan ketebalan hanya 3mm.

Kemudian pengecasan itu sendiri juga mempunyai dua port USB-C dan menyokong sejumlah protokol pengecasan lain termasuk Power Delivery, UFCS dan SuperVOOC. Terdapat juga teknologi “AirGap” Voltage Transformer yang dipaten menggunakan penukaran elektromagnet bagi mengasingkan voltan tinggi daripada bateri jika berlakunya kerosakan. Ini bagi memastikan proses pengecasan yang selamat sambil melindungi bateri peranti dengan aliran haba sebaiknya.

Komen