Pandang Pertama Google Pixel 9, Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL – Penantian Berbaloi?
Effi Saharudin
Doa golongan Team Pixel dimakbulkan tuhan awal pagi tadi dengan Google Pixel 9, Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Buat pertama kali dalam sejarah Pixel ia dipasarkan di Malaysia mengakhiri penantian selama lapan tahun. Apa yang bagus apa yang kurang? Ini pandang pertama saya untuk ketiga-tiga peranti siri Pixel 9.
Spesifikasi
| Google Pixel 9 | Google Pixel 9 Pro | Google Pixel 9 Pro XL |
| 6.3″ OLED, 120Hz Actua Display, HDR10+ | 6.3″ LTPO OLED, 120Hz Actua Display, HDR10+ | 6.8″ LTPO OLED, 120Hz Actua Display, HDR10+ |
| Google Tensor G4 (4nm) 1 X 3.1 GHz Cortex X4 3 X 2.6 GHz Cortex A720 4 X 1.95 GHz Cortex A720 | Google Tensor G4 (4nm) 1 X 3.1 GHz Cortex X4 3 X 2.6 GHz Cortex A720 4 X 1.95 GHz Cortex A720 | Google Tensor G4 (4nm) 1 X 3.1 GHz Cortex X4 3 X 2.6 GHz Cortex A720 4 X 1.95 GHz Cortex A720 |
| Mali G-715 MC7 | Mali G-715 MC7 | Mali G-715 MC7 |
| 12 GB LPDRR5X | 16 GB LPDRR5X | 16 GB LPDRR5X |
| 128/256/512/1000 GB UFS 3.1 | 128/256/512 GB UFS 3.1 | 128/256/512/1000 GB UFS 3.1 |
| Kamera Utama 50MP f/1.7, OIS (Utama) 48MP f/1.7 (Ultra Lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.7, OIS (Utama) 48MP f/1.7 (Ultra Lebar) 48MP f/2.8, OIS (Telefoto) | Kamera Utama 50MP f/1.7, OIS (Utama) 48MP f/1.7 (Ultra Lebar) 48MP f/2.8, OIS (Telefoto) |
| Kamera Hadapan 10.5MP f/2.2 | Kamera Hadapan 42MP f/2.2 | Kamera Hadapan 42MP f/2.2 |
| IP68 | IP68 | IP68 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 4700 mAh (Berwayar 27W) | 4700 mAh (Berwayar 27W) | 5060 mAh (Berwayar 37W) |
| RM 3999 (12/128GB) RM 4499 (12/256GB) | RM 5199 (16/128GB) RM 5699 (16/256GB) RM 6299 (16/512GB) | RM 5699 (12/128GB) RM 6199 (16/256GB) RM 6799 (16/512GB) RM 7999 (16/1000GB) |
Skrin
Skrin Pixel 9 adalah sebesar 6.3″ OLED dengan kadar segar semula 120Hz dengan sokongan Actua Dislay. Ianya rata dan mempunyai bucu yang dibulatkan. Sementara itu pada Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL pula skrin 6.3″ dan 6.8″ LTPO OLED 120Hz digunakan juga dari jenis Actua Display yang lancar apabila digunakan. Keterangan skrin ditingkatkan berbanding siri Pixel 8 dan lebih penting sekali ia menyokong paparan HDR10+. Maaf peminat Dolby Vision tetapi ciri ini tidak disertakan pada peranti keluaran Google.

Dengan ketiga-tiga skrin dari jenis rata, tidak timbul isu kandungan melimpah ke sisi. Sudut pandangan juga baik walaupun pada model Pixel 9 asas. Terasa setip sentuhan dikesan dengan baik dibantu oleh perisian Android 14 yang tidak dicemari pelancar pihak ketiga ataupun aplikasi gendut. Sayangnya saya tidak dapat mencuba Pixel 9 di bawah mentari Malaysia yang panas terik untuk melihat sama ada ia boleh mengalahkan panel S24 Ultra yang pada hemat saya terbaik tahun ini.
Biometri
Sistem biometri pada ketiga-tiga Pixel adalah dari jenis pengimbas jari bawah skrin ultrasonik. Kelebihannya ialah imbasan yang lebih pantas, tepat dan boleh digunakan walaupun dalam keadaan jari pengguna basah. Saya tidak sempat mencubanya lagi kerana unit demo tidak membenarkan ia dicuba hari ini. Dalam ulasan penuh kelak saya akan melihat sama ada apa yang dijanjikan setanding dengan realiti dunia sebenar. Terdapat juga sistem imbasan wajah bagi mereka yang lebih selesa dengan sistem biometri ini tetapi ia bukan dari jenis imbasan 3D.

Rekaan
Google Pixel 3a ialah peranti terakhir yang saya gunakan dan peranti tersebut mempunyai tubuh plastik yang membuatkan ia terasa seperti peranti mainan. Sebelum itu Google Pixel 1 yang saya ulas di Jepun juga mempunyai isu yang sama. Ketiga-tiga Pixel 9 mempunyai tubuh yang terasa tegap dan premium di dalam tangan.
Bingkai logam yang berkilat memberikan ia kemasan yang nampak mewah seakan bingkai iPhone 15 Pro Max. Malahan tidak melampau untuk mengatakan kualiti kemasan dan tubuh siri Pixel 9 di tahap yang sama dengan iPhone 15 Pro Max. Ini bukan perkara negatif kerana peranti Apple terkenal dengan kemasan yang sangat baik.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Di bawah terdapat port pengecasan USB-C dengan alur kekisi audio di sebelah kiri dan talam SIM di bahagian kanan. Bergerak ke atas terdapat lubang mikrofon. Pada model Pixel 9 Pro dan 9 Pro XL terdapat tingkap berbentuk bujur untuk rangkaian 5G mmWave.

Sisi tubuh yang rata membuatkan peranti kelihatan sedikit tebal tetapi saya bukan jenis pengguna yang mengelah peranti sedikit tebal. Ianya bukan isu yang besar. Kerana ia tebal dan rata, peranti boleh “berdiri” seperti Nokia 3310.
Badan yang tebal ini kerana kapasiti bateri 4700 mAh pada Pixel 9 dan 9 Pro serta 5000 mAh pula pada Pixel 9 Pro XL. Kekurangan hanyalah bateri dicas pada kuasa 27W pada dua model Pixel 9 dan 9 Pro manakal pada 9 Pro XL pula sekadar 37W yang adalah perlahan.

Panel belakang diperbuat daripada kaca yang tidak berkilat dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Ia juga membolehkan peranti menyokong pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik. Bonggol kamera berbentuk bujur mendominasi rekaan belakang. Ianya adalah agak besar dan tebal membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja.

Pada Pixel 9 ia menjadi tempat lensa sudut lebar 50MP dengan OIS dan lensa ultra sudut lebar 48MP. Pada model Pro pula terdapat tambahan lensa telefoto 48MP yang boleh melakukan zum optikal sehingga 5X. Ia senang dibezakan dengan lensa lain kerana berbentuk empat segi.
Secara peribadi saya lebih sukakan rekaan palang kamera yang digunakan pada siri Pixel 6 hingga Pixel 8 sebelum ini kerana nampak lebih bergaya dan kemas. Bonggol yang tersembul keluar dari tubuh adalah agak aneh. Namun begitu semasa Pixel 6 dilancarkan ada yang mengatakan bonggol kamera peranti ini hodoh tetapi lama kelamaan ia menjadi ikonik. Mungkin selepas beberapa tahun bonggol Pixel 9 juga akan menjadi ikonik selepas rekaan ini dipelopori oleh Google Nexus 6P sembilan tahun yang lalu. Akhir sekali tubuh ketiga-tiga model melepasi piawaian kalis air da debu IP68.
Perisian – Google Android Paling Asli

Perisian ialah sebab mengapa ramai ingin menggunakan Pixel. Ia adalah versi Android 14 yang paling suci murni tanpa aplikasi gendut dan pelancar pihak ketiga yang tidak begitu menarik. Perisian ini berjalan dengan cukup lancar sekali pada ketiga-tiga model kerana menggunakan cip Google Tensor G4 terkini. Pada Pixel 9 sebanyak 12GB RAM disertakan sementara pada siri Pixel 9 Pro sebanyak 16GB RAM disertakan. Jumlah kuasa memproses yang tinggi dipadankan dengan saiz RAM yang besar memastikan isu “Pixel tak cukup memori” boleh dibakul sampahkan tahun ini.
Selain perisian yang paling ringan, ia masih hadir dengan ciri-ciri eksklusif Pixel. Sebarang ciri baharu akan diterima terlebih dahulu oleh peranti menerusi Pixel Drop. Tidak lagi perlu menanti pengeluar menawarkannya beberapa bulan selepas ia dilancarkan. Kemudian ia menerima sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti. Hanya Samsung sahaja mampu menawarkan sokongan yang setanding ditawarkan oleh Google.

Ciri menarik lain ialah Gemini Nano dijalankan terus pada peranti untuk pelbagai tugasan AI seperti ciri Reimagine dalam Photos. Menerusinya gambar boleh diubahsuai dengan memasukkan prom. Sebagai contoh anda mungkin ingin mengubah langit biru menjadi langit merah seperti matahari terbenam. Menukar jalan menjadi sungai yang mengalir deras. Gambar juga boleh diubah komposisinya dengan bahagian yang tiada dijana oleh Gemini.
Terdapat juga ciri Screenshot baharu yang menyimpan semua tangkapan layar dalam aplikasi khas. AI kemudian membaca semua maklumat dalam tangkapan layar seperti nombor telefon, kata laluan WiFi, nombor tempahan kapal terbang dan alamat venue acara. Dari dalam aplikasi pengguna hanya perlu bertanya soalan yang ingin diketahui jawapannya dan Screenshot akan memberikannya berdasarkan maklumat yang telah dikumpul.

Akhir sekali ialah ciri Add Me yang menambah gambar pengguna ke dalam sebuah gambar yang ditangkap. Dilemma ada insan ketinggalan dalam gambar berkumpulan kerana tiada orang boleh mengambil gambar diselesaikan oleh Add Me dengan bantuan AI. Dari kesemua ciri di atas, ini ialah ciri yang paling saya rasakan inovatif dan unik.


Kesemua ciri Gemini Nano sebelum ini seperti menulis mesej, dan emel juga masih disertakan begitu juga dengan Circle to Search yang saya rasakan adalah ciptaan terbaik Google sejak 5 tahun kebelakangan ini dan tiada produk yang hampir dengannya,. Pembeli siri Pixel 9 Pro juga menerima langganan Gemini Pro dengan kemampuan AI yang lebih berkuasa selama setahun secara percuma. Kekuatan Pixel selama ini terletak pada perisian dan tradisi ini diteruskan menerusi siri Pixel 9.
Kesimpulan
Adakah penanti selama 8 tahun untuk Google Pixel berbaloi. Berdasarkan pengalaman pendek semalam dua jam pagi tadi saya boleh katakan ya. Ini yang paling anda mahukan di Amanz sejak dahulu. Peranti dengan perisian Android paling “asli” tanpa perisa tambahan, kemampuan kamera terbaik dalam kelas, kemasan premium yang mantap, ciri AI menarik dan sokongan kemas kini perisian selama tujuh tahun. Nantikan ulasan penuh kami untuk peranti-peranti ini pada 22 Ogos depan.

Pro
- Rekaan premium yang sedap di dalam tangan.
- Perisian Android paling asli.
- Kemampuan kamera Pixel yang dikenali ramai.
- Sokongan perisian selama 7 tahun.
- Kalis air dan debu IP68.
- Ciri AI menarik tiada pada peranti lain setakat ini.
Kontra
- Harga agak mahal.
- Tensor G4 di atas kertas tidak setanding Snapdragon 8 Gen 3.
- Pengecasan hanya 27W dan 37W yang adalah perlahan untuk peranti moden.