Rekaan iPhone 16 Dengan Bonggol Kamera Menegak Baharu Tertiris
Effi Saharudin
Sudah dilaporkan sebelum ini Apple akan mengubah rekaan siri iPhone 16 bagi memberi wajah baharu pada peranti yang mengitar semula rekaan sejak iPhone 11. Hari rekaan dami peranti yang dikatakan iPhone 16 tertiris menunjukkan rekaan bonggol kamera baharu dengan kamera disusun menegak.

Ia seakan bonggol kamera pada Pixel 9 tetapi bersaiz lebih kecil dengan orientasi kamera utama di atas dan kamera ultra sudut lebar di bawah. Dengan rekaan baharu ini, bonggol kaca berkotak yang menjadi identiti iPhone sejak empat tahun lalu tidak lagi diteruskan. Tiada perubahan besar lain dilakukan pada bahagian belakang peranti.
Antara ura-ura lain yang didengari sebelum ini ialah panel hadapan iPhone 16 akan menggunakan rekaan lubang pil yang lebih kecil dan akan menyokong Apple Intelligence. Dengan siri iPhone 16 akan dilancarkan bulan depan, pasti lebih banyak maklumat akan tertiris ke arena web.
[sumber] Reddit [/sumber]