Geekbench AI Dilancarkan Untuk Penanda Aras Kemampuan Kecerdasan Buatan Pelbagai Peranti
Fahim Zahar
Kebanyakan pengeluar peranti akan menggunakan Geekbench untuk penanda aras kemampuan CPU dan GPU. Dengan era AI semakin maju, Geekbench AI telah dilancarkan untuk penanda aras peranti dengan kemampuan AI.

Primate Labs iaitu pembangun Geekbench AI menyatakan aplikasi penanda aras ini adalah untuk menguji kemampuan CPU, GPU dan juga NPU dengan tiga kategori skor iaitu Single Precision untuk 32-bit/INT32, Half Precision untuk 16-bit dan Quantized untuk 8-bit/INT8. Cuma aneh sekali, Geekbench tidak memaparkan skor dalam format TOPS.

Geekbench AI bukan sahaja menguji kepantasan pemprosesan AI, tetapi turut menentukan ketepatan output. Geekbench AI menyokong pelbagai platform seperti TensorFlow Lite pada Android dan Linux, CoreML pada iOS dan macOS/ONNX serta OpenVINO pada Windows dan Linux. Aplikasi ini sudah tersedia untuk dimuat turun sama ada pada gedung aplikasi atau dari laman web Geekbench sendiri.
[sumber] Geekbench [/sumber]