Setiap manusia akan merasai mati dan bagi mereka yang mempunyai umur panjang, penuaan ialah hakikat yang turut tidak boleh dielakkan. Tetapi saintis dari Pusat Genomik dan Perubatan Peribadi di Universiti Stanford menerbitkan kajian yang menunjukkan proses penuaan drastik tubuh manusia berlalu pada usia 44 dan 60 tahun. Ini sekaligus menyangkal kepercayaan bahawa penuaan berlaku secara beransur-ansur mengikut umur.
Kajian melibatkan 108 peserta dengan data 135,000 molekul tubuh manusia berusia antara 25-72 tahun dijejak. Sampel darah, kulit, najis, colek hidung dan hidung diambil setiap bulan, tahun atau setiap 7 tahun. Menerusi sampel ini, perubahan pada RNA, protein, metabolit, dan mikrob diambil.
Dua perubahan besar dikesan pada usia 44 dan 60 tahun. Ia menjawab persoalan mengapa penyakit tertentu hanya mula dikesan atau dirasai pada kedua-dua usia ini. Antara isu kesihatan yang lazim berlaku ialah masalah penyakit kardiovaskular dan muskuloskeletal.
Dalam gelombang pertama penuaan di usia 44 tahun, perubahan besar menyebabkan penyakit kardiovaskular dan kemampuan melakukan metabolisme kafein, alkohol dan lipid. Dalam gelombang kedua pada usia 60 tahun pula perubahan berlaku pada molekul yang mengawal imunisasi, metabolisme karbohidrat dan fungsi ginjal. Pada kedua-dua usia ini juga, perubahan besar berlaku pada molekul yang berkaitan dengan penuaan otot serta kulit.
Selama ini penuaan yang berlaku pada usia 40an dikaitkan dengan proses menopaus yang dialami wanita. Tetapi kajian ini mendapati ia turut berlaku pada lelaki. Saintis kini percaya satu lagi perubahan besar akan berlaku pada usia 78 tahun tetapi kajian akan dilakukan kerana kohort dalam kajian semasa tidak melibatkan kumpulan ini.
Keputusan kajian ini akan digunakan untuk mensasarkan intervensi, seperti meningkatkan senaman semasa tempoh kehilangan otot yang lebih cepat. Sebagai insan yang sudah berusia 45 tahun, saya akui tahun lalu adalah tahun yang paling mencabar dari sudut kesihatan. Secara tiba-tiba tubuh menjadi kurang bermaya, lebih mudah tercedera dan kesakitan otot mual dirasai.
Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature