Meta Quest HDMI Link Membolehkan Set Realiti Maya Meta Quest Digunakan Sebagai Paparan Skrin
Nazrin
Jika anda memiliki sebuah set realiti maya Meta Quest 2, Quest 3 ataupun Quest Pro, Meta hari ini telah memperkenalkan sebuah aplikasi yang dinamakan Meta Quest HDMI Link yang membolehkan anda menggunakan Meta Quest sebagai sebuah paparan digital besar.

Aplikasi Meta Quest HDMI Link ini boleh dimuat-turun dan dipasang secara terus pada set Meta Quest 2, Quest 3 dan Quest Pro anda secara mudah. Akan tetapi, anda juga akan memerlukan beberapa aksesori tambahan untuk menyambungkan set Meta Quest anda untuk digunakan sebagai paparan.
Pertama ialah kabel HDMI ataupun DisplayPort yang akan digunakan untuk menyambungkan komputer atau komputer riba anda kepada sebuah aksesori capture card (dengan sokongan USB 3.0), dan kemudiannya anda akan memerlukan sebuah palam USB 3.2 Type-C male ke USB Type-A female untuk menyambungkan set Meta Quest anda ke capture card tersebut.

Meta mengatakan bahawa dengan sambungan ini, pengguna boleh memperlihatkan paparan pada resolusi Full HD dengan paparan dalam sebesar mana yang anda mahukan. Mereka mengatakan bahawa paparan yang diperlihatkan dalam Meta Quest ini sesuai walaupun anda melancong atau mengembara ke luar negara, dan mahu melihat atau menonton kandungan bersaiz besar.
Aplikasi Meta Quest HDMI Link ini sudahpun boleh dimuat-turun sekarang melalui Meta Store dan dicuba hari ini.
[sumber]Meta[/sumber]