Lesen Memandu Dan ID Rakyat California Kini Boleh Dipautkan Pada Apple Dan Google Wallet
Nazrin
Apple Wallet dan Google Wallet adalah dua aplikasi dompet digital yang membolehkan pengguna untuk memautkan kad-kad seperti kad debit, kredit, diskaun dan sebagainya kepada peranti pintar mereka, untuk memudahkan transaksi pembayaran melalui peranti sahaja.
Kerajaan California di Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa rakyat di negeri tersebut kini boleh memautkan ID mereka, bersama-sama dengan lesen memandu pada Apple Wallet dan juga Google Wallet baru-baru ini.

California kini menyertai negeri-negeri lain di Amerika Syarikat seperti Arizona, Maryland, Colorado, Georgia dan Ohio dengan kini menampilkan sokongan untuk memaut lesen fizikal kepada aplikasi dompet digital.
Perkara ini juga merupakan sambungan kepada pengumuman lebih awal pihak Department of Motor Vehicles di California yang telah melancarkan aplikasi mereka tersendiri yang memaparkan lesen memandu dan pendaftaran kenderaan secara digital, sama seperti yang ditawarkan melalui aplikasi MyJPJ di Malaysia.
Walaupun begitu, untuk rakyat California, mereka masih lagi diwajibkan untuk membawa lesen dan ID fizikal bersama-sama mereka. Pautan ID kepada Apple Wallet dan Google Wallet ini adalah untuk memudahkan identifikasi sewaktu saringan oleh pihak TSA di lapangan terbang dan sebagainya.
Ia agak menarik untuk melihat sekiranya pihak JPJ dan JPN juga akan bertindak untuk membenarkan lesen kenderaan dan kad pengenalan rakyat Malaysia untuk dipautkan kepada kedua-dua dompet digital ini untuk memudahkan rakyat membawa identifikasi melalui peranti-peranti mereka sahaja.
[sumber]California Governer Gavin Newsom[/sumber]