Carian
Arm Dilaporkan Sedang Membangunkan Kad Grafik Untuk Bersaing Dengan Pembangun Sedia Ada
August 19, 2024 Nazrin

Arm ialah syarikat pembangun teknologi cip semikonduktor yang dilihat menguasakan hampir kesemua peranti-peranti pintar di dunia, dan telahpun mula untuk mendominasi dunia komputer riba. Kini terdapat laporan bahawa mereka sedang membangunkan komponen GPU pula untuk bersaing dengan syarikat-syarikat seperti AMD, Intel dan NVIDIA.

Mereka sudahpun hadir dengan cip pemprosesan grafik Mali dan Immortalis yang kebanyakannya dilihat menguasakan bahagian grafik untuk peranti-peranti pintar, tetapi kini mereka sudahpun memasuki arena menguasakan peranti-peranti seperti komputer riba dan mesin pelayan, nampaknya sudah tiba masa mereka mengembangkan sayap untuk menguasakan bahagian grafik khusus untuk tujuan gaming.

Ia dilaporkan bahawa Arm mempunyai sekitar 100 penyelidik yang berpengkalan di Israel untuk membangunkan komponen cip pemprosesan grafik ini, dan berkemungkinan besar ia akan dibangunkan secara berasingan berbanding dengan cip-cip pemprosesan lain mereka.

Ini bermakna bahawa tidak lama lagi, kita mungkin akan melihat kad grafik untuk komputer riba yang dikuasakan Arm, dan malah, komputer riba yang 100 peratus dikuasakan oleh cip pemprosesan Arm. Setakat ini, ia masih tidak diketahui bilakah Arm dijangka akan memperkenalkan komponen GPU keluaran mereka sendiri ini.

Komen