Ulasan JBL Soundgear Frame – Seri Berwarna Berdansa Dengan Gaya
Fahim Zahar
Penggunaan cermina mata pintar masih tidak cukup popular. Google Glass adalah projek yang gagal kerana terlampau awal diperkenalkan. Kemudian Ray-Ban Meta pula tidak dijual secara meluas. Apa yang menjadi kebiasaan adalah cermin mata yang turut berfungsi sebagai TWS. Huawei ada, Bose ada dan macam-macam jenama ada iterasi mereka tersendiri.

Di makmal Amanz, JBL Malaysia telah memberi kami Soundgear Frame dan apabila saya memakainya – setiap muzik membuatkan saya berdansa dengan lebih bergaya. Persoalannya, adakah ia berbaloi untuk dibeli?
SPESIFIKASI
| Jenis | TWS dalam bentuk cermin mata hitam |
| Pemandu Audio | 25mm x 9 mm jenis dinamik JBL OpenSound |
| Mikrofon | Dwi-mikrofon Pembatalan hingar persekitaran |
| Ciri Pintar | Akses pembantu maya dengan arahan suara |
| Sambungan/Perlindungan | Bluetooth 5.2 IP54 |
| Bateri | 110mAh 2 jam pengecasan Dwi-USB C |
| Kawalan/Aplikasi | Sesentuh pada logo JBL di bingkai MyJBL Headphones App Android, iOS |
| Harga |
REKAAN DAN PENGGUNAAN
Saya adalah seorang yang memakai cermin mata sejak zaman persekolahan lagi, tetapi saya jarang sekali memakai cermin mata hitam. JBL Soundgear Frame ini membuatkan saya yakin untuk memakai cermin mata hitam kerana ia bukan sekadar menghalau silau tetapi turut mempunyai fungsi tambahan iaitu mendengar audio. Ia direka seperti cermin mata biasa cuma, unit ulasan yang saya gunakan mengambil inspirasi dari Nothing kerana semuanya lutsinar dengan setiap komponen jelas kelihatan.

Soundgear Frame juga tidak kelihatan sangat tebal, saiznya juga sederhana dan sangat sesuai dengan saiz muka saya. Bingkai secara keseluruhan sebenarnya agak pendek sedikit tetapi kerana ia tebal dan permukaan plastik berkualiti yang tidak licin membuatkan setiap tangkai mempunyai cengkaman pada bahagian telinga. Cermin mata juga nampak kemas apabila disangkutkan pada kolar baju.

Setiap komponen Soundgear Frame berada dalam tangkai. Pemandu audio, cip, bateri dan banyak lagi memang jelas kelihatan. Bukan itu sahaja, ia juga diiktiraf dengan perlindungan air dan debu IP54 agar boleh dipakai ketika hujan atau berpeluh tanpa sebarang kerisauan. Satu perkara yang aneh pada rekaan cermin mata audio JBL ini adalah port pengecasan yang memerlukan dua USB-C pada setiap tangkai. Ia menjengkelkan dan sangat berharap generasi akan datang ia menggunakan pengecasan magnetik dari dalam bekas penyimpan.

Bercakap mengenai bekas penyimpan, JBL Soundgear Frame hanya didatangkan dengan bekas biasa diperbuat daripada kulit palsu. Tiada bateri terbina, tiada ciri pintar dan hanya mempunyai perlindungan asas. Untuk lensa, JBL menyatakan ia bebas untuk pengguna tukar dengan lensa preskripsi tetapi perlu berhati-hati untuk meminta wakil kedai cermin mata untuk tidak merendam dalam bekas pencuci ultrasonik.
KUALITI AUDIO
JBL Soundgear Frame menggunakan teknologi OpenSound tersendiri yang mengambil konsep fon kepala belakang-terbuka. Ia adalah untuk mendengar audio berkualiti sambil sedar apa yang berlaku di sekeliling dan sangat berbeza dengan produk audio konduksi tulang. Walau bagaimanapun, ia hanya konsep kerana Soundgear Frame sebenarnya menggunakan teknologi seakan TWS biasa – di mana satu tangkai utama akan bersambung ke tangkai lagi satu.

Menariknya, tiada sela masa yang melampau ini adalah kerana Bluetooth 5.2 yang membantu menyampaikan audio dengan tepat dan seimbang. Tiada juga masalah sambungan terputus dan penggunaan adalah sangat lancar. Kualiti audio pada hemat saya adalah baik sekali. Ia tidak teruk seperti TWS murahan di pasaran, sebaliknya cuba menyampaikan audio enak terus ke telinga pengguna. Masalahnya, jenis terbuka seperti ini akan menyebabkan dentuman bass yang lemah yang menyumbangkan kepada pengalaman pendengaran yang kurang mengasyikkan.

Mendengar muzik atau podsiar cukup menarik kerana vokal yang terang. Nada tinggi juga boleh didengari dengan baik tetapi tidak mencukupi kerana apabila terlampau tinggi, ada sedikit kesan hingar. Mendengar muzik untuk jangka masa panjang untuk saya menarik apabila berada di luar, kerana sambil berjalan atau menaiki pengangkutan awam saya tidak rasa bosan. Masalah hanya berlaku apabila ada panggilan telefon di mana, saya tidak mempunyai privasi dan akan kedengaran seakan sedang bergaduh dalam perbualan mengenai makan di mana.

Dalam pejabat, penggunaan Soundgear Frame mengganggu rakan pejabat lain kerana bunyi halus keluar yang samar-samar seakan mendengar muzik di dalam pusat membeli belah. Saya turut menyedari yang penggunaan Soundgear Frame adalah lebih seronok ketika dalam sesi telesidang, cuma memakai cermin mata hitam ketika mesyuarat dengan bos rasa sedikit aneh.
KAWALAN DAN APLIKASI
Kawalan juga saya tidak sangka mudah dan sangat lancar. Pertama adalah dengan arahan suara yang menggunakan pembantu maya lalai pada peranti yang cermin mata ini dihubungkan. Kedua adalah pada logo JBL di setiap tangkai cermin mata. Ia menggunakan sentuhan sama ada gestur menggerakkan jari atau tekan dan tahan. Kawalan adalah untuk pelbagai perkara seperti aras suara atau juga melangkau lagu serta menjawab panggilan telefon.

JBL tidak menyertakan butang jadi, membuka tangkai Soundgear Frame adalah hidup dan lipat semula adalah tutup. Ini juga agak bermasalah kerana engsel yang longgar membuatkan buka sekejap ia terus dimatikan dan perlu tunggu beberapa saat untuk ia kembali bersambung.

Kaedah kawalan lain adalah melalui aplikasi My JBL Headphones App. Aplikasi yang sama digunakan untuk fon kepala Tour One M2. Ia adalah aplikasi produk audio yang kemas, mudah digunakan dan sangat mesra pengguna. Semua tetapan terus berada di depan, penyama juga mudah ditetapkan dan membuatkan saya tertanya kenapa JBL boleh tetapi Sonos dan Sony tidak?
BATERI
Bateri untuk cermin mata audio ini tidak cukup jelas. Saya difahamkan adalah 110mAh tetapi tidak pasti untuk satu tangkai atau kedua-duanya. Tempoh pengecasan pula adalah 2 jam dari 0% sehingga 100%. Bagaimana pula dengan ketahanan? Dalam tempoh sekitar satu bulan penggunaan, saya hanya menggunakannya sekitar 20 minit sehari. Ini memberikan ketahanan yang mencukupi untuk sekitar 3 minggu. Untuk penggunaan berterusan, ia boleh bertahan mencapai 8 jam dengan 10 minit pengecasan untuk 2 jam penggunaan. Saya boleh sahkan, ketahanan bateri yang JBL promosikan adalah benar.

APA ADA DALAM KOTAK?
- 1x JBL Soundgear Frame.
- 1x Kabel USB-C khas bentuk Y.
- 1x Kain lap gentian mikro.
- 1x Bekas penyimpan diperbuat kulit palsu.
- 1x Set buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN
JBL Soundgear Frame adalah produk yang menarik. Ia menawarkan cermin mata audio mampu milik untuk semua orang dan tidak perlu berbelanja lebih dari jenama besar. Cuma untuk RM999 atau sekarang masih ada promosi RM888, ia sebenarnya masih mahal untuk sekadar cermin mata yang ada TWS asas. Saya boleh beli bingkai cermin mata berkualiti dan TWS kelas pertengahan pada harga RM500 di Shopee dan tetap akan memberi pengalaman lebih kurang sama. Bezanya, Soundgear Frame tidak melecehkan.

Jika JBL ubah engsel dan menyertakan ciri pintar seperti tangkai dilipat ia tidak mati terus sebaliknya mempunyai masa sebelum ia benar-benar mati, saya mungkin akan beli untuk diri sendiri. Kemudian, berikan lagi ciri pintar misalnya menjeda audio ketika cermin mata ditanggalkan atau kaedah pengecasan yang mudah. Mana tahu, jika versi ini dibeli ramai Soundgear Frame 2.0 boleh menjadi pesaing Ray-Ban Meta lengkap dengan kamera dan AI?
PRO/KELEBIHAN
- Mendengar audio dengan gaya unik.
- Peranti boleh pakai merangkap fesyen seakan jam tangan pintar.
- Audio yang boleh diterima dan agak lantang.
- Aplikasi yang sangat mesra pengguna.
- Harga yang mampu milik berbanding jenama lain.
KONTRA/KEKURANGAN
- Bass tidak mempunyai dentuman memuaskan.
- Engsel lemah, mudah mati serta hidup sendiri apabila terbuka dan terlipat.
- Binaan plastik yang mudah calar.
- Tidak mempunyai banyak pilihan saiz.
- Tidak mempunyai ciri pintar yang biasa ada pada TWS dalam harga sama.
