Salah satu daripada keperluan sebuah PC untuk menggunakan sistem operasi Microsoft Windows 11 ialah sebuah cip dalam CPU-CPU moden yang dinamakan Trusted Platform Module 2.0. Secara ringkasnya, cip ini diperlukan untuk memastikan komputer yang menggerakkan sistem operasi tersebut kekal selamat dan tidak mudah untuk digodam.
Akan tetapi, selama ini terdapat beberapa cara untuk pengguna mengelak daripada keperluan cip TPM 2.0 tersebut dan memasang sistem operasi Microsoft yang terbaru ini pada komputer-komputer usang mereka, seperti yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Phenom ataupun Intel Core2Duo.
Terkini, melalui kemaskini Windows 11 Canary Build terbaru, selain daripada pengenalan tetapan mod kuasa baru dan kemaskini kepada sistem fail FAT32, Microsoft juga nampaknya telah menampal “kerentanan” ini dan nampaknya akan memaksa semua pengguna untuk menaiktaraf komputer-komputer mereka.
Ini bermakna bahawa sekiranya kemaskini ini diperkenalkan pada kemaskini rasmi Windows 11 akan datang, mereka yang menggunakan komputer dengan komponen lama akan dipaksa untuk sekurang-kurangnya menaiktaraf ke CPU AMD Ryzen 2000 ataupun Intel Core generasi ke-8.
Untuk sekian lamanya, cara yang digunakan untuk mengelak dari imbasan keperluan TPM 2.0 dan jumlah RAM ialah untuk menggunakan arahan /product server didalam program Command Prompt apabila memasang sistem operasi ini pada komputer.
Seperti yang dikatakan sebelum ini, kemaskini ini hanya diperkenalkan melalui Canary Build didalam program Windows Insider sahaja setakat ini. Samada ia akan diperkenalkan apabila kemaskini besar Windows 11 diperlihatkan kelak tidak diketahui lagi.