Kepada kaki gaming yang juga memiliki kereta Mercedes-Benz, bermula tahun depan kereta anda mempunyai kemampuan menstrim terus permainan dari awanan terus ke skrin hiburan kenderaan. Di Gamescom semalam, Mercedes-Benz mengumumkan kerjasama dengan Boosteroid untuk menawarkan perkhidmatan gaming awanan ini kepada pemilik kenderaan keluaran mereka.
Sebanyak 1000 permainan daripada perkhidmatan seperti Steam dan Epic Games boleh diakses. Pada ketika ini ciri ini hanya diberikan kepada pemilik kenderaan yang melanggan pakej MBUX Entertainment Package Plus dan kenderaan mereka menggunakan sistem infohibur MBUX generasi ketiga.
Atas sebab keselamatan ciri ini hanya boleh digunakan apabila kenderaan tidak bergerak dan ia menyokong. tambatan alat kawalan permainan menerusi bluetooth. Aplikasi Boosteroid boleh dipasang pada kenderaan bermula 2025 tetapi perkhidmatan terhad di Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan sahaja.