Kipas Penyejuk xMEMS Hanya Setebal 1mm Untuk Peranti Nipis
Effi Saharudin
Sistem penyejukan aktif boleh memastikan prestasi konsisten berterusan pada peranti mudah alih dan sekaligus menyelesaikan isu bateri yang habis dengan pantas. Tetapi majoriti telefon pintar, tablet dan komputer riba sekadar mempunyai sistem penyejukan pasif. Sebab ini berlaku adalah kerana kipas aktif tebal dan tidak boleh digunakan pada peranti pintar yang nipis. Tetapi firma xMEMS telah melancarkan sistem penyejukan aktif hanya setebal 1mm yang direka khusus untuk peranti yang ingin mengekalkan rekaan nipis.

Sistem penyejuk XMC-2400 µCooling menggunakan modulasi ultrasonik untuk menghasilkan pergerakan angin dan bukannya kipas dengan motor elektrik. Ini rahsia mengapa ia hanya setebal 1mm dan sebesar 150 mg sahaja.
Walaupun kecil ia boleh menggerakkan 39 sentimeter padu udara sesaat dan menghasilkan tekanan belakang sehingga 1000 Pascal. Ia boleh diletakkan terus pada permukaan SOC, GPU dan bateri di dalam telefon pintar, tablet serta komputer riba nipis. Lebih menarik ia mempunyai kemampuan kalis air serta debu IP58.
Menurut xMEMS, empat pengeluar sudahpun menjadi pelanggan mereka dengan produk pertama dijangka keluar sebelum penghujung 2024. Dengan sistem penyejukan xMEMS, dalam masa terdekat isu telefon menjadi panas apabila mengambil gambar dan menjalankan permua mungkin akan menjadi lipatan sejarah.