Teknologi Variable Refresh Rate ataupun VRR membolehkan paparan skrin untuk menyelarikan output bingkai video sama seperti apa yang diolah oleh kad grafik. Teknologi ini secara ringkasnya membantu dalam mengurangkan isu ghosting ataupun carikan skrin (screen tearing) dimana dua bingkai “bertembung” dan menyebabkan isu grafik kelihatan pelik pada skrin.
Terdapat beberapa teknologi yang boleh digunakan untuk membasmi isu ini, seperti AMD FreeSync ataupun NVIDIA G-SYNC untuk penawaran yang lebih premium. Akan tetapi, paparan yang hadir dengan komponen G-SYNC ini secara lazimnya adalah lebih mahal dari yang biasa, dan untuk membolehkan lebih ramai gamer memanfaatkan teknologi ini, NVIDIA telah bekerjasama dengan MediaTek untuk memperkenalkan G-SYNC Pulsar.
Menurut NVIDIA, cip G-SYNC Pulsar yang dibangunkan bersama-sama dengan MediaTek ini memperlihatkan prestasi VRR empat kali lebih baik apabila dibandingkan dengan teknologi lain yang tidak menggunakan modul G-SYNC, dan ini akan membantu golongan gamer untuk memilih paparan skrin yang tidak terlalu mahal, tetapi masih boleh memanfaatkan teknologi G-SYNC.
Bersama-sama dengan pengumuman ini, NVIDIA juga telah memperkenalkan tiga buah paparan skrin gaming, termasuklah ASUS ROG Swift 360Hz PG27AQNR, Acer Predator XB273U F5 dan AOC AGON PRO AG276QSG2. Kesemua paparan-paparan skrin ini akan hadir dengan resolusi QHD 2560×1440 pixel dan kadar segar semula 360Hz bersama-sama dengan sokongan untuk teknologi HDR.
NVIDIA mengatakan bahawa paparan-paparan skrin ini akan ke pasaran sekitar penghujung tahun ini.