Carian
NVIDIA ACE Diperkenalkan Secara Rasmi – Akan Hadir Melalui Permainan Mecha BREAK Kelak
August 21, 2024 Nazrin

Beberapa bulan lalu, kami telah melaporkan mengenai satu teknologi AI baru dari NVIDIA yang dinamakan NVIDIA ACE, ataupun Avatar Cloud Engine yang membolehkan pembangun untuk mencipta “manusia digital” yang membolehkan manusia berinteraksi dan bertutur dengan sebuah model kecerdasan buatan secara semulajadi.

Terkini, teknologi NVIDIA ACE nampaknya akan diperlihatkan secara lebih meluas, dimana NVIDIA telahpun mula memperlihatkan demo teknologi perbualan dengan AI ini melalui beberapa permainan, dimana yang terbaru ialah Mecha BREAK, sebuah permainan komputer yang sedang dibangunkan oleh Amazing Seasun Games

Dari video acah yang diperlihatkan, anda kini boleh berinteraksi dengan watak NPC didalam permainan untuk menanyakan mereka tentang perkara-perkara seperti misi seterusnya, meminta cadangan tentang cara terbaik untuk melakukan misi anda.

NVIDIA ACE menggunakan SLM (Small Language Model) NVIDIA Nemotron-4 4B yang memanfaatkan kad grafik NVIDIA siri GeForce RTX 4000 untuk menjana jawapan AI didalam permainan komputer ini, menggabungkan teknologi AI mereka yang lain seperti NVIDIA Riva dan NVIDIA Ominiverse Audio2Face. 

Riva memahami percakapan pemain secara masa nyata untuk NeMo memahami konteks perbualan. Audio2Face pula akan memadankan audio suara yang dihasilkan oleh NeMo dengan animasi wajah watak NPC.

Mecha BREAK kini sedang berada dalam fasa beta terbuka, tetapi integrasi dengan teknologi AI NVIDIA ACE hanya akan berlaku apabila permainan ini dilancarkan secara rasmi. Buat masa ini, pihak Amazing Seasun Games masih belum mengesahkan tarikh pelancaran rasmi permainan ini, tetapi sama seperti ujian beta mereka yang sedang berlangsung sekarang, ia dijangka akan dilancarkan sebagai permainan komputer yang percuma untuk dimainkan.

Komen