Sekitar 2020, Google dibawa ke mahkamah kerana didakwa telah menyimpan data peribadi pengguna pelayar web Google Chrome, walaupun ciri Chrome Sync tidak digunakan. Ciri ini membolehkan pengguna untuk menyelarikan tetapan dan pelbagai butiran peribadi seperti nama akaun, kata laluan dan sebagainya untuk digunakan pada pelayar web di peranti lain dengan melog masuk kedalam akaun Google mereka.
Saman tersebut dahulunya difailkan kerana ia didapati bahawa Google nampaknya mengumpul semua data-data peribadi ini walaupun ciri Chrome Sync tidak digunakan oleh pengguna. Saman ini kemudiannya dibubarkan pada tahun 2022 kerana hakim pada waktu tersebut, Yvonne Gonzalez Roger bersetuju dengan penjelasan Google yang mengatakan bahawa pengguna Google Chrome pada waktu tersebut sudahpun bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan oleh Google.
Terma penggunaan pelayar web tersebut termasuklah pengesahan kebenaran yang membolehkan mengumpul data yang dimasukkan kedalam pelayar web tersebut.
Akan tetapi, ia telah dilaporkan bahawa kes ini telah dibuka kembali baru-baru ini, dengan hakim Milan D. Smith Jr. mengatakan bahawa ketetapan yang diberikan pada hakim sebelum ini tidak mengambil kira bahawa pengguna tidak memahami terma dan syarat yang diberikan.
Ini dapat dilihat melalui kenyataan yang mana Google sendiri memberitahu pengguna bahawa sekiranya Chrome Sync tidak diaktifkan, butiran-butiran peribadi ini tidak akan diambil oleh Google dan disimpan di pusat data mereka. Oleh yang demikian, kes ini dibuka semula, dan perbicaraan akan bermula kembali.
Google juga telah mengatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pembukaan semula kes ini, dan mengatakan bahawa bukti berada pada pihak mereka, dan mereka tidak bersalah dalam isu penggunaan Chrome Sync ini.