Pico 4 Ultra telah dilancarkan secara rasminya di China semalam sekaligus meletakkannya mampu bersaing kepada Meta Quest 3. Rekaan yang kompak masih digunakan dengan berat mencapai 304 gram. Dua alat kawalan turut disertakan dengan ia lebih kecil dan tanpa gegelung untuk cengkaman yang lebih selesa. Selain itu mempunyai kemampuan menjejak dan sistem haptik yang responsif menerusi sokongan motor linear HyperSense terbina di dalam.
Ia juga lebih berkuasa menerusi penggunaan cip Snapdragon XR2 Gen 2, memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan 256GB UFS 3.1. Peningkatan turut diberikan pada kapasiti bateri lebih besar 5700mAh yang juga menyokong pengecasan 45W. Terdapat juga sokongan audio spatial, sistem pembesar suara stereo dan empat mikrofon disertakan bersama.
Selain itu skrin digunakan pula sebesar 2.56″ dengan masing-masing menawarkan resolusi 2160 × 2160 piksel dan kadar segar semula 90Hz. Sistem lensa adalah sejenis pancake dengan kemampuan sudut penglihatan 105 darjah secara mendatar. Pada masa yang sama mempunyai sepasang kamera 32MP yang juga boleh digunakan untuk merakam video 3D pada resolusi 2048 x 1536 piksel 60FPS.
Pico 4 Ultra turut menggunakan sistem operasi yang dibina berasaskan Android, di samping boleh disambungkan bersama peranti lain seperti telefon pintar dan dekstop secara serentak misalnya melalui aplikasi Poco Connect. Pico 4 Ultra juga serasi dengan sambungan Wifi 7 dengan kelajuan yang boleh mencapai 3.0Gbps dan kependaman kira-kira 5 milisaat. Pico 4 Ultra dijual di China pada CNY 4299 (~RM2,636) tanpa butiran ketersediaan global yang diketahui buat masa ini.