Meta Mula Menguji Paparan Iklan Pada Threads – Tidak Akan Tiba Dalam Masa Terdekat
Fahim Zahar
Threads adalah pesaing X yang menggunakan akaun Instagram serta turut menyokong platform Fediverse. Hari demi hari, penggunaan Threads menjadi semakin popular dengan garis masa saya mula memaparkan banyak perkongsian dari pengguna Malaysia. Threads juga menarik digunakan kerana bebas iklan, tetapi ini akan berubah tidak lama lagi.

Pembangun bebas Alessandro Paluzzi telah berkongsi di X yang Threads mula menguji sokongan paparan iklan. Bukan itu sahaja, baru-baru ini Meta turut telah menambah ciri analitik, mencipta draf dan menjadualkan perkongsian yang ramai katakan adalah persediaan untuk pencipta kandungan memantau kandungan masing-masing untuk pencapaian iklan.
Sokongan paparan iklan pada Threads bukan satu perkara mengejut, kerana Mark Zukeberg sendiri pernah mengesahkan selepas Threads mempunyai lebih 1 bilion pengguna barulah iklan ini akan dipertimbangkan. Ketua Instagram, Adam Mosseri turut pernah memberitahu yang menjana pendapatan dengan iklan di Threads adalah perkara yang telah dirancang bagi memastikan Threads boleh kekal beroperasi – cuma iklan ini tidak akan tiba dalam masa terdekat.
[sumber] X – Alessandro Paluzzi [/sumber]