Carian
AMD Dijangka Akan Menunda Pelancaran CPU AMD Ryzen 9000X3D Ke Awal Tahun Hadapan
August 26, 2024 Nazrin

AMD baru sahaja melancarkan siri cip pemprosesan Ryzen 9000 mereka beberapa minggu yang lalu, dan sebelum ini dijangka akan memperlihatkan model Ryzen 9000X3D yang hadir dengan memori V-Cache tambahan sekitar bulan hadapan.

Akan tetapi, nampaknya setelah pelancaran Ryzen 9000 sendiri terpaksa ditunda untuk memperbaiki beberapa isu seperti kesilapan cetakan nama model dan juga isu berkaitan perisian pemandu, AMD nampaknya bertindak untuk menunda pelancaran siri CPU X3D tersebut beberapa bulan untuk memastikan bahawa pelancarannya adalah lancar.

Perkara ini ditiriskan oleh peniris maklumat komponen komputer HXL di X/Twitter, dan disahkan oleh beberapa individu lain, termasuklah editor laman teknologi WCCFTech. Ramai yang menjangkakan bahawa AMD akan melancarkan CPU tersebut bersama-sama dengan pelancaran siri CPU Intel Arrow Lake, tetapi nampaknya jika anda mahu mendapatkan CPU tersebut, anda akan perlu menunggu sedikit lebih lama untuknya.

Dua CPU yang dijangka akan diperkenalkan oleh AMD termasuklah AMD Ryzen 9 9950X3D dan juga AMD Ryzen 7 9800X3D yang dibangunkan khusus untuk aplikasi dan perisian yang boleh memanfaatkan jumlah memori tambahan terbina didalam CPU seperti permainan-permainan video moden.

Setakat ini, pihak AMD masih belum mengesahkan sama ada perkara ini adalah benar, tetapi dijangka akan membuat pengumuman mengenainya kelak.

Komen