Nampaknya, AI generatif adalah ciri utama untuk peranti mercu baharu 2024. Samsung dengan Galaxy AI, Google dengan Gemini dan akan datang Apple pula dengan Apple Intelligence. Keluarga iPhone 16 dilaporkan akan dilancarkan pada 10 September akan datang dan Apple Intelligence dikatakan adalah ciri utama untuknya.
Laporan Mark Gurman baru-baru ini menyatakan yang Apple telah mula melatih pekerja mereka untuk memfokuskan Apple Inteeligence pada iPhone 16. Ciri AI generatif ini akan menjadi ciri utama pada iPhone-iPhone baharu. Apple Intelligence tidak akan dilancarkan dengan iOS 18 kerana hanya akan tiba pada bulan Oktober beberapa minggu selepas versi stabil diperkenalkan dengan iPhone 16. Bulan Oktober, iOS 18.1 dijangka akan menjadi kemas kini untuk iPhone baharu dan hanya iOS 18.2 barulah ciri menjana imej dan integrasi ChatGPT akan ditawarkan.
Dengan kata lain, iPhone 16 akan dipasarkan sebagai peranti AI sepertimana Samsung dan Google lakukan pada perantu mercu tahun 2024 mereka. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai iPhone 16 dan Apple Intelligence.