Di Malaysia bertih jagung dan nuget ayam ialah makanan lazim di dalam panggung wayang. Sebelum itu kuaci, jeruk, jagung dan buah-buahan segar ditawarkan tetapi kini sudah semakin pupus di bandaraya utama. Bagi yang mencari kelainan dan pengalaman baharu, Dadi Cinemas kelak akan membuka panggung wayang pertama di Malaysia yang menawarkan tempat memasak stimbot pada setiap kerusi penonton.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, panggung pertama ini terletak di Dadi Cinemas Pavillion KL dengan ia menawarkan menu yang ditawarkan oleh Shu Daxia Hot Pot, sebuah rangkaian kedai stimbot makanan cina. Setiap kerusi penonton akan mempunyai satu dapur stimbot dengan pelbagai makanan yang boleh direbus diberikan dalam bekas berbentuk kotak.
Secara peribadi kami bukan penggemar makanan panas dan berasap apabila menonton filem di panggung. Tetapi kerana Dadi Cinemas berasal dari China, mereka mungkin ingin memenuhi kemahuan pelanggan yang ingin menikmati filem terkini di panggung dengan makanan asli negara tersebut.
Ini adalah perkembangan yang agak menarik kerana sebab mengapa jeruk tidak lagi ditawarkan di panggung wayang adalah kerana baunya yang kuat tetapi kini stimbot berbau kuat bakal kembali. Tetapi jika makanan Jepun dan Barat boleh ditawarkan dalam panggung premium, masakan tidak makanan tradisi China ditawarkan juga.