Baru-baru ini kami ada menulis tentang penawaran penyejuk CPU DeepCool baru yang memasuki pasaran tempatan. Tetapi tahukah anda bahawa jenama yang sama sebenarnya telah dilarang untuk dijual di pasaran Amerika Syarikat beberapa bulan yang lalu?
Ini adalah kerana DeepCool didapati telah berurusan dengan beberapa syarikat-syarikat di Russia dan membekalkan produk-produk mereka untuk syarikat-syarikat ini sewaktu peperangan diantara Russia dan juga Ukraine.
Ini menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat mengharamkan jualan produk-produk DeepCool di pasaran Amerika Syarikat. Salah satu cara yang kini dilakukan oleh syarikat ini untuk terus menjual produk-produk mereka ialah dengan menukar jenama DeepCool mereka kepada sesuatu yang baru. Dan nama yang dipilih ialah Shaking Tank.
Apa yang dapat dilihat di pasaran Amerika Syarikat sekarang ini adalah seperti penukaran label nama DeepCool ke Shaking Tank secara fizikal dan juga digital.
Apa yang menarik mengenai langkah ini ialah secara teknikalnya, sekatan keatas jualan barangan DeepCool masih lagi berkuat-kuasa, dan pertukaran nama ini tidak akan menukar apa-apa langsung. Terdapat kemungkinan bahawa pertukaran nama ini akan membolehkan mereka menjual stok sedia ada di kedai fizikal dan atas talian di Amerika Syarikat, tetapi hakikatnya masih lagi bahawa mereka tidak dibenarkan untuk menjual produk sedia ada di pasaran tersebut.