Sebilangan Pemilik OnePlus 10 Pro Melaporkan Peranti Mati Selepas Jaminan Tamat
Fahim Zahar
OnePlus sejak kebelakangan ini tidak lagi menerima sambutan yang sehebat seperti sediakala. Ia kini telah berada di bawah naungan Oppo. Walaupun OnePlus 11 dan OnePlus 12 adalah peranti yang baik, namun harga jualan dan layanan pusat khidmat pelanggan membuatkan orang ramai beralih ke pesaing. Selain isu skrin hijau yang masih berlanjutan, sebilangan pemilik peranti OnePlus 9 dan OnePlus 10 pula mengalami masalah memanas dan kemudiannya mati.

Berdasarkan laporan pengguna melalui OnePlus Community, antara peranti yang terkesan adalah siri OnePlus 9 dan kebanyakan berlaku adalah pada OnePlus 10 Pro 5G. Isu berlaku selepas kemas kini OxygenOS yang membuatkan peranti memanas lalu terus mematikan telefon. Lebih kesian, isu berlaku selepas setiap peranti baru sahaja tamat jaminan. Menurut luahan pengguna, OnePlus meminta bayaran sekitar RM500 untuk peranti bermasalah dibaiki atau menerima diskaun membeli peranti OnePlus baharu.
Setakat ini di Malaysia, orang ramai melaporkan masalah skrin hijau sahaja. Beberapa pengguna bertuah berjaya menuntut jaminan di pusat khidmat bantuan pelanggan Oppo secara percuma. Adakah anda masih menggunakan peranti OnePlus?