Indiegogo adalah antara laman biayasama yang popular. Sesiapa yang mempunyai idea produk yang menarik dan unik akan menggunakan platform seperti Indiegogo untuk mengumpul dana sebelum produk dihasilkan. Masalah pada platform seperti ini adalah, kempen projek yang gagal akan membuatkan pengguna yang membiayai projek kerugian kerana wang tidak akan dipulangkan. Perkara ini akan berubah dalam program Shipping Guarantee baharu Indiegogo.
Program ini terhad kepada akaun yang pernah mempunyai kempen berjaya, produk berada di fasa akhir pengeluaran, atau dari jenama terkenal. Masing-masing yang layak akan mempunyai lencana Shipping Guarantee di atas butang Pick Your Perk. Selain itu, kempen yang dipercayai Indiegogo turut akan menerima lencana Trust Proven Program. Program ini akan memanfaatkan pengguna yang membiayai projek di platform mereka, selain terus memastikan Indiegogo adalah platform biayasama yang boleh dipercayai.
Jika ada kempen yang gagal, pengguna boleh terus memohon pulangan wang secara serta-merta. Mereka yang bertanggungjawab menganjurkan kempen yang gagal turut akan ditarik kembali lesen kepercayaan yang telah diamanahkan.