Butiran Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 Untuk Komputer Riba Tertiris
Nazrin
Secara lazimnya, kad grafik generasi baru untuk komputer riba hanya akan diperlihatkan apabila kebanyakan kad-kad grafik baru untuk komputer desktop sudahpun diperkenalkan. Terkini, nampaknya pengerusi sebuah syarikat pembuat komputer riba di China telah memberikan sedikit butiran mengenai kad grafik komputer riba NVIDIA GeForce RTX 5060 yang akan dilancarkan kelak.
Wu Haijun, pengerusi syarikat pembuat komputer riba Hasee telah memperlihatkan beberapa butiran mengenai kad grafik komputer riba tersebut di sebuah acara tertutup. Beliau mengatakan bahawa kad grafik tersebut akan menggunakan memori GDDR7 bersama-sama dengan cip pemprosesan grafik Blackwell yang baru.
Perkara ini sedikit sebanyak mengesahkan bahawa siri kad grafik GeForce RTX 5000 akan menggunakan memori generasi baru GDDR7 kelak, menggandakan prestasi memori berbanding penawaran memori GDDR6/6X sebelum ini.
Ia dijangka bahawa kad grafik ini, yang akan dilengkapi dengan 8GB memori GDDR7 akan tampil dengan prestasi olahan Ray-Tracing yang lebih baik berbanding dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 untuk komputer riba.

Bukan itu sahaja, jumlah penggunaan kuasa juga mungkin akan hadir dengan nilai yang lebih rendah dengan TDP 115W berbanding dengan 140W yang diperlihatkan pada kad grafik GeForce RTX 4060.
Malah, Wu Haijun mengatakan bahawa kesemua kad-kad grafik dalam siri NVIDIA GeForce RTX 5000 bukan sahaja akan hadir dengan prestasi yang lebih baik berbanding siri sebelum ini, tetapi juga mempunyai nilai TDP (jumlah penggunaan kuasa elektrik) yang lebih rendah.
Jika benar, ia tidak mengejutkan sekiranya komputer riba dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 akan menjadi pilihan terbaik untuk para gamer yang mahu menukar komputer riba gaming mereka di masa hadapan dan tidak mahu membelanjakan terlalu banyak wang untuk prestasi yang baik pada resolusi Full HD dan juga QHD.
Setakat ini ia tidak diketahui bilakah NVIDIA akan mula memperlihatkan siri kad grafik GeForce RTX 5000 untuk komputer riba, tetapi sekiranya butiran-butiran yang diperkatakan ini adalah benar, NVIDIA mungkin sedang membinanya sekarang.
[sumber]WCCF Tech[/sumber]