Ketua jurubina Masjid Negara, Datuk Baharuddin Abu Kassim meninggal dunia hari ini pada usia 95 tahun. Beliau bersama dengan Howard Ashley dan Ikmal Hisham Albakri terlibat dalam mereka masjid yang dibuka pada tahun 1965 dengan kapasiti 15,000 orang jemaah.
Masjid Negara memegang status masjid terbesar di Malaysia sehingga 1988 apabila ia dipintas oleh Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam. Allahyarham juga merupakan ketua jurubina Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz.
Sebab kematian Datuk Baharuddin tidak didedahkan tetapi kematian beliau dilihat sebagai kehilangan besar tokoh komuniti seni bina negara. Beliau dilahirkan pada 1 Oktober 1929 di Jeram, Selangor dan mendapat pendidikan tinggi dari University of Manchester dalam jurusan senibina dan perancangan bandar.
Beliau kemudian bertugas di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa sebelum berpindah ke Jabatan Kerja Raya sehingga memegang jawatan jurubina kanan. Kemudiannya beliau menubuhkan firma Jurubena Bertiga bersama Dato’ Lim Cheong Keat dan Lim Chin See.
Selain mereka Masjid Negara dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, beliau turut merupakan jurubina Masjid Kolej Islam Malaya, Masjid Jamek An-Nur Labuan, dan Masjid Negeri, Negeri Sembilan yang kesemuanya mempunyai rekaan ikonik. Kerana sumbangan beliau kepada senibina negara, Datuk Baharuddin Abu Kassim dianugerahkan pingat emas daripada Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) pada tahun 2009.