Carian
Tentera Darat Amerika Ingin Meniru Hamas Menggunakan Luncur Layar Di Medan Perang
August 28, 2024 Effi Saharudin

Pada 7 Oktober 2023, tentera Israel dikejutkan oleh serangan yang dilakukan oleh Hamas menggunakan luncur layar bermotor (powered paraglider). Kerana saiznya yang kecil dan beroperasi dengan agak senyap, serangan hendap ke atas pos kawalan berjaya dilakukan dengan jayanya sebelum dapat dikesan. Kini Tentera Darat Amerika Syarikat memulakan program Sistem Mobiliti Udara Peribadi (PAMS) untuk menggunakan luncur layar ketika melakukan operasi di medan perang.

PAMS perlu mempunyai kemampuan terbang pada ketinggian 10,000 kaki, jarak operasi sehingga 100 km dan membawa beban sehingga 160 kilogram tetapi hanya mempunyai berat keseluruhan sekitar 35 kilogram tanpa bahan api. Secara teorinya anggota tentera daripada unit payung terjun dihantar ke kawasan operasi menggunakan kapal pengangkut sebelum melompat keluar. Payung terjun kemudiannya dibuka dan kemudian mereka akan meluncur ke sasaran menggunakan luncur layar bermotor.

Luncur layar sukar dijejak menggunakan radar atau pengesan infra merah. Ia turut beroperasi lebih senyap berbanding helikopter dan kapal terbang konvensional. Menerusi PAMS, anggota tentera boleh memasuki medan perang tanpa dikesan oleh musuh, seperti yang telah dibuktikan oleh Hamas.

Selain tujuan memasuki kawasan musuh, ia turut boleh digunakan bagi tujuan pemantauan kawasan operasi, membawa keluar anggota yang cedera dan membawa bekalan yang diperlukan bagi meneruskan operasi tanpa menggunakan pesawat konvensional.

Luncur layar bermotor telahpun diuji oleh pasukan U.S. Marine Forces Special Operations Command (MARSOC) dan pasukan khas tetapi tidak dalam misi dunia sebenar. Projek PAMS ingin menggunakannya pula dalam operasi oleh anggota unit payung terjun pada skala lebih besar.

Luncur layar bermotor dicipta oleh Mike Byrne dari England pada tahun Jun 1980 menggunakan luncur layar dan enjin kecil buatan sendiri bagi tujuan riadah. Hanya kini ia dibuktikan mempunyai tempat di medan perang kerana pesawat konvensional semakin mudah ditangkis menggunakan MANPADS.

Komen