Jepun mempunyai masalah jumlah kelahiran bayi yang lebih rendah berbanding peningkatan jumlah warga tua. Mereka kini mempunyai 30 juta penduduk berusia lebih 60 tahun. Sebagai langkah menggalakkan perkahwinan dan mengurangkan kesesakan di Megapolis Tokyo, kerajaan Jepun akan memberikan ganjaran ¥600,000 (~RM 18,000) kepada wanita yang berkahwin dan kemudian berpindah keluar. Ganjaran tambahan lain dalam bentuk wang tunai turut akan dipertimbangkan oleh kabinet.
Ini adalah langkah untuk bukan sahaja meningkatkan jumlah kelahiran bayi tetapi memastikan kawasan luar bandar akan mempunyai penduduk. Fenomena akiya iaitu rumah kosong yang ditinggalkan di luar bandar semakin serius menyebabkan ia dijual pada harga yang sangat murah. Ini masih tidak mampu mengurangkan jumlah “bandar mati” sebaliknya meningkatkan jumlah migran luar negara yang berhijrah untuk membeli rumah tinggi yang murah dibantu oleh nilai Yen yang semakin merosot.
Langkah yang diambil oleh kerajaan Jepun ini nampak seakan tidak begitu serius kerana ganjaran yang diberikan tidak tinggi. Di Busan, Korea Selatan kerajaan akan memberikan ganjaran sehingga $85,000 (~RM 369,000) sebagai imbuhan untuk pasangan berkahwin. Wang diberikan secara berperingkat dengan $604 diberikan apabila mula bercinta, $1200 apabila bertemu ibu bapa, $24,000 jika berkahwin, $36,000 diberikan untuk membeli rumah atau $960 sebulan selama lima tahun untuk membayar sewa.
Malaysia kelak akan berhadapan dengan isu kelahiran bayi yang rendah. Kadar kelahiran semasa ialah 1.6 bayi untuk setiap wanita yang adalah penurunan mendadak berbanding 6 bayi setiap wanita pada tahun 1957 dan 2.1 bayi setiap wanita pada tahun 2010. Kadar kelahiran 2.1 bayi untuk setiap wanita diperlukan untuk mengekalkan populasi sesebuah negara.